Dua calon muda BN di Selangor fokus suara hati pengundi





Oleh Siti Aisyah Harun

SUNGAI BESAR, 28 April (Bernama) -- Calon muda BN di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Sungai Besar tidak mahu berkempen dengan "menabur pelbagai janji", sebaliknya fokus untuk lebih memahami suara hati dan kehendak pengundi.

Calon termuda BN, Lee Yee Yuan, 28, yang bakal berhadapan pertandingan tiga penjuru dengan calon PKR dan PAS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan berkata, sebagai anak setempat beliau amat memahami harapan dan kemahuan pengundi kawasan tersebut.

Lee yang berasal dari sebuah kampung di sini mahu menyantuni rakyat menerusi pendekatan seperti 'orang kampung'.

"Setakat ini, gerak kerja jentera parti sudah berjalan sekitar 70 peratus dan rata-rata saya lihat perkembangan yang positif terhadap BN daripada pengundi Sekinchan termasuk 45 peratus golongan muda," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau ditemui selepas proses penamaan calon di Dewan Seri Bernam di sini.

Lee yang berjanji berkhidmat sebaik mungkin untuk rakyat sekiranya dipilih, juga berazam menjadikan Sekinchan sebuah pusat pelancongan agro, selain berusaha meningkatkan daya keusahawanan orang muda.

Arkitek muda itu akan ditentang Mohd Fadzlin Taslimin daripada PAS dan penyandang kerusi DUN Sekinchan selama tiga penggal, Ng Suee Lim yang bertanding atas tiket PKR.

Sementara itu calon BN di DUN Sungai Panjang Datuk Mohd Imran Tamrin, 32, pula berkata, usia muda dan kesihatan baik mampu menjamin pemberian perkhidmatan berkualiti sebagaimana ditagih rakyat.

Menyifatkan dirinya sebagai seseorang yang "kurang gemar" berpolitik, beliau pasti sikap itu bakal memberi kelebihan kepadanya dalam menyampaikan khidmat bakti sepenuh masa kepada pengundi.

"Ini akan menjadikan saya lebih fokus untuk laksana tugas, tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Saya yakin calon-calon muda BN mampu membawa perubahan kepada organisasi pentadbiran di sesebuah DUN atau Parlimen," katanya.

Mohd Imran akan bersaing dalam pertandingan tiga penjuru menentang calon PAS Mohd Razali Saari dan calon PKR, Mariam Abdul Rashid.

-- BERNAMA