Mohd Zaidi optimis bakal cipta sejarah di Permatang Pauh
BUKIT MERTAJAM, 28 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said optimis akan mencipta sejarah di kawasan kubu kuat PKR itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.
Beliau yang akan berhadapan dengan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata keadaan di kawasan itu kini jelas telah banyak berubah apabila sokongan kepada BN bertambah.
"Berdasarkan kepada pengamatan dan laporan yang diterima pada masa kini penyokong BN adalah jauh lebih ramai daripada PAS dan Pakatan Harapan. Ini terbukti dengan kehadiran penyokong BN hari ini jauh lebih ramai daripada penyokong pembangkang."
"Ini adalah satu permulaan yang baik kepada BN kerana dalam sejarah plihan raya kecil yang lepas kami tidak mampu untuk menangani jumlah kehadiran (penyokong) Pakatan Harapan tapi kali ini jumlah kami jauh lebih besar," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) di sini hari ini.
Beliau berharap kempen pilihan raya kali ini akan berlangsung dalam suasana muhibah penuh semangat kekeluargaan serta tidak ada unsur-unsur keganasan fitnah yang terlampau dan perkara-perkara yang boleh membawa kepada perpecahan masyarakat di Permatang Pauh.
"Harapan saya kita bertanding dengan semangat untuk membawa kebaikan kepada rakyat Permatang Pauh...buat rakyat Permatang Pauh pilihlah calon yang benar-benar ingin memajukan kawasan ini. Ini lah masa yang terbaik untuk penduduk Permatang Pauh membuat keputusan," katanya.
Mohd Zaidi berkata beliau mempunyai 14 aku janji yang akan dilaksanakan untuk Permatang Pauh sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat kawasan itu. Empat belas aku janji itu akan diumum esok.
Sementara itu, calon PAS Afnan Hamimi yang juga anak kepada bekas imam Masjid Negara berkata tugas yang diberikan kepada beliau oleh parti adalah berat iaitu mengembalikan semula kemenangan PAS di kawasan itu 40 tahun lalu.
"Tugas saya untuk mengembalikan kemenangan PAS yang pernah dicapai oleh Allahyarham Zabidi Ali pada 1978...hasil daripada turun padang, saya dapat lihat penerimaan rakyat Permatang Pauh sangat positif," katanya yang turut meminta semua pihak supaya berpolitik secara matang dan mempamerkan akhlak Islam yang baik.
-- BERNAMA