Teng rayu pengundi agar BN main peranan lebih besar dalam DUN

GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow merayu kepada pengundi Pulau Pinang supaya memberi peluang kepada calon-calon BN yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) memainkan peranan lebih besar dalam Dewan Undangan Negeri.
Beliau berkata ini kerana banyak isu gagal ditangani oleh kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP dan sejak Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri, beliau tidak dapat menerima kritikan.
"Semua orang perlu mengikut caranya, jika anda mengkritiknya, beliau sama ada akan menyaman anda di mahkamah atau menjatuhkan anda. Adakah ini demokrasi yang diperjuangkannya," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto calon BN Batu Uban, Hng Chee Wey di sini hari ini.
Teng yang juga pengerusi Gerakan Pulau Pinang berkata disebabkan keangkuhannya, rakyat Pulau Pinang perlu menghantar mesej yang jelas kepada Lim dengan menyokong calon BN.
"Isu seperti pemotongan bukit, pembangunan cerun dan banjir terusmelanda negeri ini sejak 10 tahun yang lalu tanpa sebarang penyelesaian," kata beliau.
Teng berkata keputusan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjong Bungah ialah kawasan itulah insiden paling serius seperti tanah runtuh, pemotongan bukit dan banjir sering berlaku.
Menurut beliau, Gerakan akan terus memperjuangkan isu-isu itu yang dihadapi oleh rakyat tetapi Lim cuba mengelak perkara-perkara tersebut dengan mengambil tindakan saman di mahkamah.
Teng, 54 akan menghadapi pertembungan empat penjuru di Tanjong Bungah berdepan calon DAP Zairil Khir Johari, 36, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Chua Cheong Wee, 49 dan Parti Bersama Malaysia (PBM) Lee Zheng Yong, 36.
-- BERNAMA