PRU14: Hang Tuah Jaya medan tempur utama Melaka





Oleh Fadzli Ramli

MELAKA, 28 April (Bernama) -- Parlimen Hang Tuah Jaya, sebelum ini Parlimen Bukit Katil, kekal medan tempur utama negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) membabitkan pertarungan ulangan musuh tradisi dan drama pergeseran akar umbi pakatan pembangkang pada hari penamaan calon hari ini.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Mohd Ali Rustam mewakili Barisan Nasional (BN) sekali lagi menentang Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin yang menewaskannya pada PRU13 namun pertarungan kali ini mempunyai latar belakang amat berbeza.

Dalam tempoh lima tahun lepas, pengundi di Parlimen itu mendakwa Shamsul Iskandar gagal membela nasib mereka, sebaliknya tanggungjawab itu dipikul Mohd Ali yang tidak merajuk walaupun tidak dipilih malah konsisten turun padang menyelesaikan masalah dan menyalur bantuan kepada rakyat.

Shamsul Iskandar pada penamaan calon hari ini turut bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, diulas Mohd Ali melalui sindiran ?seorang isteri tidak dijaga, ini nak kahwin dua,? mempersoal bagaimana boleh lawannya itu menjaga dua kawasan sedangkan tanggungjawab menjaga satu kawasan sebelum ini tidak dilaksana dengan baik.

Selain Mohd Ali dan Shamsul Iskandar, calon PAS Dr Md Khalid Kassim yang merupakan penyandang kerusi DUN Bukit Baru, sebelum dipinda kepada DUN Bukit Katil, melengkapkan saingan tiga penjuru di Hang Tuah Jaya.

Drama pergeseran akar umbi pakatan pembangkang turut mewarnai Parlimen Hang Tuah Jaya apabila satu daripada DUN di kawasan berkenaan iaitu DUN Ayer Molek menyaksikan Naib Ketua PPBM Bahagian Hang Tuah Jaya Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi bertanding sebagai calon Bebas.

Kamarolzaman nyata berang apabila mendakwa usaha bersama jentera PPBM Hang Tuah Jaya melaksanakan gerak kerja meyakinkan pengundi DUN Ayer Molek untuk mengundi pakatan pembangkang, ?dibalas tuba' apabila kepimpinan parti itu memutuskan untuk melepaskan DUN itu kepada PKR.

Dakwanya setelah usahanya itu membuahkan hasil dengan perkiraan pakatan itu mampu menang, parti dalam pakatan itu mula berebut yang akhirnya DUN itu jatuh ke tangan PKR mencalonkan Farhan Ibrahim mementaskan pertandingan empat penjuru dengan Rahmad Mariman (BN) dan Jantan Abdullah (PAS).

Selain Hang Tuah Jaya, kawasan Parlimen Masjid Tanah turut akan menyaksikan pertembungan menarik dua pengamal undang-undang iaitu Ketua Puteri UMNO Mas Ermieyati Samsudin, yang merupakan seorang peguam, akan berdepan calon PKR iaitu bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Dr Sabirin Ja\'afar.

Calon PAS yang juga bekas pensyarah Mohd Nasir Othman melengkapkan saingan tiga penjuru di kawasan itu dan Mas Ermieyati merupakan wanita pertama dari BN bertanding kerusi Parlimen di negeri itu pada pilihan raya umum sebelum ini.

Juga menarik perhatian Mas Ermieyati dan Sabirin mempunyai pertalian saudara serta merupakan orang Minang yang mengutamakan keturunan.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pula dilihat tidak berdepan masalah dalam pertarungan satu lawan satu tunggal di negeri ini dengan Mohd Lokman Abd Ghani daripada PKR, bagi mempertahan kerusi DUN Sungai Udang dimenanginya dengan majoriti 9,136 undi pada PRU13.

Namun ketika ditemui pemberita, Idris enggan mendabik dada sebaliknya melihat persaingan satu lawan satu itu bukan persaingan yang mudah dan akan berusaha keras memenangi hati pengundi di kawasan itu.

Bagaimanapun jika dilihat dengan teliti, senarai calon dibariskan pakatan pembangkang tidak begitu dikenali oleh rakyat di negeri ini, berbeza dengan nama seperti Mohd Ali dan Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah di DUN Paya Rumput yang dikenali di segenap pelusuk negeri membantu rakyat.

Selain itu Idris juga dikenali sebagai seorang ketua menteri yang membawa pembangunan pesat dan pelaburan RM22.5 billion sepanjang pentadbirannya, tidak lupa Mas Ermieyati yang sinonim dengan usaha memajukan wanita muda di negara ini. Pakatan pembangkang ada siapa - Shamsul Iskandar ?".

Dengan barisan calon yang mantap serta akujanji di bawah Manifesto BN Melaka bertemakan 'Bersama Mencipta Kegemilangan' yang fokus kepada kesinambungan kemajuan dan kemakmuran pada penggal seterusnya, kemenangan bagi calon BN Melaka pada PRU14 kini semakin jelas di ufuk sana.

-- BERNAMA