TPM Ahmad Zahid lancar manifesto khas Bagan Datuk

BAGAN DATUK, 28 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini melancarkan manifesto khas Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk untuk segenap lapisan masyarakat bagi merancakkan lagi pembangunan dan kemakmuran ekonomi daerah ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata manifesto khas bertemakan 'Bersama BN, Hebatkan Bagan Datuk Kita' itu adalah selaras dengan 14 teras manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri dan juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 April lalu.
Antara Aku Janji khas untuk pengundi Bagan Datuk termasuk mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan di kampung halaman mereka dengan perkongsian pintar kerja sepadan selain mewujudkan produk terbaik Bagan Datuk Ori, membangunkan Bagan Datuk Water City, pembinaan hospital dan Ibu Pejabat Polis Daerah selain membantu usahawan di setiap peringkat, katanya.
"Bukan mudah untuk memulakan sesuatu dengan kekangan yang besar tetapi saya yakin dengan sokongan semua kaum di Bagan Datuk dan semua komponen parti politik dan badan bukan kerajaan yang ada, kita dapat merealisasikanya."
"Kita yakin dapat merealisasikan kesemua Aku Janji dalam manifesto ini. Kita mahu semua anak Bagan Datuk membangunkan bumi ini sebagaimana yang telah dirancangkan," katanya pada majlis pelancaran manifesto khas BN Bagan Datuk di Dewan Hajah Tuminah, Kampung Sungai Nipah Darat di sini hari ini.
Turut hadir kedua-dua calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup Datuk Shahrul Zaman Yahya dan calon DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.
Empat belas Teras yang terkandung dalam manifesto khas itu termasuk ekonomi keperluan rakyat, generasi muda sebagai pewaris masa depan, memperkukuh pembinaan negara bangsa, memperkukuh agenda bumiputera dan mempertahankan Islam, perumahan keperluan rakyat, membahagiakan dan menjayakan wanita serta tadbir urus yang baik dan penyertaan rakyat.
Selain itu, teras yang lain adalah kemampanan dan kemakmuran ekonomi, kesejahteraan warga emas dan kelainan upaya, pemacuan modal insan, kecemerlangan pendidikan, mengutamakan kesejahteraan sosial dan kualiti hidup rakyat, keselamatan rakyat, membina infra rakyat dan meningkatkan kesalinghubungan dan meraikan perbezaan.
Sementara itu, pada majlis pelancaran manifesto khas bagi masyarakat India di Dewan Sanmarka, Simpang Empat di sini, Ahmad Zahid berkata BN Bagan Datuk menawarkan 17 Aku Janji bagi meningkatkan kesejahteraan kaum India di sini.
Antara intipatinya termasuk menyediakan peruntukan bagi membaik pulih bangunan kuil serta membaik pulih dan menaik taraf Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan Bagan Datuk, akses pendidikan yang lebih luas kepada golongan muda kaum berkenaan menerusi Skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik Bagan Datuk dan Kolej Komuniti Bagan Datuk.
"Kita akan meningkatkan penglibatan masyarakat India dalam program Komuniti Agropreneur Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Bagan Datuk selain akan menawarkan dana pusingan perniagaan untuk membantu usahawan India melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional."
"Kita juga menawarkan inisiatif kepada masyarakat India dengan meningkatkan pemilikan rumah mampu milik menerusi projek Program Perumahan Rakyat dan membantu kumpulan B40 yang berada di bawah garis kemiskinan didaftarkan dalam pangkalan data e-Kasih," katanya.
Sementara itu, pada majlis pelancaran khas manifesto BN untuk masyarakat Cina di Bagan Datuk, Ahmad Zahid menggariskan lapan aku janji untuk lima tahun akan datang.
Aku janji tersebut ialah:
(1) Memudah cara isu yang dihadapi oleh kumpulan nelayan masyarakat Cina.
(2) Membuka akses pendidikan yang lebih luas kepada anak muda berketurunan Cina melalui penyertaan Skim Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik Bagan Datuk dan Kolej Komuniti Bagan Datuk yang akan dibina.
(3) Meningkatkan penglibatan masyarakat Cina dalam program Komuniti Agropreneur NCIA di Daerah Bagan Datuk.
(4) Menawarkan dana pusingan perniagaan bagi membantu usahawan Cina Bagan Datuk melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan TEKUN Nasional.
(5) Meningkatkan pemilikan rumah mampu milik oleh masyarakat Cina dalam projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Bagan Datuk;
(6) Memastikan kumpulan isi rumah berpendapatan terendah (B40) masyarakat Cina yang berada di bawah garis kemiskinan didaftarkan dalam pangkalan data eKasih.
(7) Hadiah kecemerlangan untuk pelajar Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) sebanyak RM1,000 bagi pencapaian 5A dan ke atas.
(8) Berikrar akan membaiki serta menaik taraf saliran dan longkang di kampung baru Cina.
-- BERNAMA