Sivarrajh tekad kerja keras menangi hati pengundi Cameron Highlands





CAMERON HIGHLANDS, 28 April (Bernama) -- Tidak menafikan bakal berdepan persaingan sengit lima penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Cameron Highlands, calon Barisan Nasional (BN) Datuk C. Sivarraajh tekad bekerja keras sehingga tamat tempoh kempen bagi memenangi hati pengundi kawasan peranginan tanah tinggi itu.

Kata Ketua Pemuda MIC itu, pihaknya yakin kerusi parlimen itu mampu dipertahankan berdasarkan sokongan yang ditunjukkan rakyat termasuk kerja keras pemimpin setempat yang telah sekian lama mengadakan program turun padang dalam usaha membela nasib rakyat.

Selain itu katanya, rekod prestasi yang baik, pengenalan manifesto BN yang menjamin kesejahteraan rakyat serta rancangan jangka masa panjang kerajaan juga merupakan antara faktor penarik ditonjolkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya rasa ia adalah lumrah politik bila kita ada pesaing lebih daripada satu lawan. Namun, saya tidak rasa begitu gelabah kerana kita mempunyai kelebihan dari segi tempoh pemerintahan kerajaan dan pelan jangka panjang."

"Pada masa sama, saya tidak mahu mengambil mudah akan kewibawaan calon lain. Semua ada kelebihan masing-masing," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas selesai sesi penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, di Tanah Rata, di sini hari ini.

Justeru katanya, pengundi Cameron Highlands perlu menyedari kepentingan wakil rakyat dari BN supaya kesinambungan pembangunan dan infrastruktur di tanah tinggi itu dapat diteruskan.

Sivarraajh bakal berdepan calon PAS Wan Mahadir Wan Mahmud, calon Berjasa Mohd Tahir Kassim, calon Pakatan Harapan M. Manogaran dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) B. Suresh Kumar pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei ini.

-- BERNAMA