Pertimbang wakil MIC, MCA dalam exco Pahang





BENTONG, 28 April (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob tidak menolak kemungkinan wakil MCA dan MIC dipertimbangkan untuk menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun beliau menjelaskan keputusan akhir mengenai pelantikan itu tetap bergantung kepada perkenan daripada istana.

"Itu (melantik wakil MCA dan MIC) satu perkara yang boleh dipertimbangkan... tapi jika saya masih menteri besar, saya hanya boleh kemukakan nama. Keputusan muktamad adalah kepada istana," katanya.

Adnan yang juga calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Gapoi di sini, hari ini.

Beliau juga berpendapat adalah lebih baik jika terdapat wakil daripada parti komponen dalam kerajaan dan pengundi perlu memilih BN jika merasakan suara mereka dalam kerajaan perlu diperkuatkan.

Pada PRU14, Pengerusi MIC Pahang Datuk R. Goonasakaren bertanding di DUN Sabai manakala MCA diwakili lapan calon Leong Tak Man (DUN Tanah Rata), Lee Ah Wong (Cheka), Ng Leap Pong (Tras), Lim Chong Ly (Damak), Quek Tai Seong (Semambu), Tee Choon Ser (Teruntum), Wong Tat Chee (Mentakab), Poo Mun Hoong (Bilut).

Sementara itu, mengulas mengenai kekecohan yang berlaku di Pusat Penamaan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, yang melibatkan pencalonan DUN Ketari, Adnan berkata apa yang berlaku adalah masalah teknikal.

"... terpulang kepada RO (Pegawai Pengurus Pilihan Raya) dan calon kena mematuhi apa yang telah ditetapkan, yang boleh melihat IC (kad pengenalan) adalah RO, bukan calon. Kalau tidak berpuas hati, mereka boleh file motion di mahkamah pilihan raya," katanya.

Proses pencalonan di dewan itu agak kecoh sekitar pukul 11.30 pagi tadi, apabila calon DAP mendesak supaya calon BN bagi DUN Ketari Datuk Lau Hoi Keong mengemukakan kad pengenalannya kerana mendakwa wakil dari parti Gerakan itu tidak mempunyai alamat di Pahang.

Bagaimanapun, Pegawai Pengurus Datuk Azhar Arshad mengesahkan Lau layak untuk bertanding kerana menepati syarat yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Adnan seterusnya menyifatkan pertembungan tiga penjuru dan lebih di sesetengah DUN di Pahang mencerminkan \'amalan demokrasi yang sihat\' selain memberikan kelebihan kepada BN.

"Kalau boleh tidak hanya tiga penjuru tetapi empat dan lima penjuru juga bagus supaya rakyat dapat buat pilihan. Tapi saya pasti rakyat tahu di mana dan parti mana yang akan mereka pilih," katanya.

-- BERNAMA