Pertarungan calon popular kerusi panas jadi tumpuan PRU14

Oleh Voon Miaw Ping dan Nur Syuhada Shamsudin
KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Jarak hari pengundian
bagi Pilihan Raya Umum ke-14 hanya 11 hari. Mulai hari ini Barisan Nasional dan parti-parti pembangkang akan menghangatkan lagi pertandingan dalam menghadapi persaingan sengit sesama mereka terutama di kawasan kerusi panas Parlimen di seluruh negara.

Risikonya tinggi. Sebarang strategi yang diatu r dan keputusan yang diambil sepanjang tempoh berkempen sama ada akan membuahkan kejayaan atau merebahkan sokongan parti-parti yang bertanding.
Selain terpaksa bekerja keras untuk memperbaiki prestasi bagi mempertahankan kedudukan masing-masing di 49 kerusi panas Parlimen di seluruh negara yang mencatatkan undi majoriti tipis kurang daripada 3,000 undi pada PRU13, BN dan pembangkang kali ini juga berdepan cabaran hebat berikutan penamaan personaliti-personaliti popular sebagai calon.
Kerusi panas yang berdasarkan pertandingan antara calon-calon popular di sesuatu kawasan Parlimen biasanya menjadi tumpuan kerana persaingan sengit antara mereka menyebabkan sukar untuk meramal pihak mana yang bakal menang.
Bernama mengupas kerusi-kerusi panas Parlimen yang bakal menjadi tumpuan dalam PRU14 ini.
Langkawi yang akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru ialah titik tumpuan "medan pertempuran" antara BN dan Pakatan Harapan di wilayah utara Semenanjung Malaysia.
Walaupun pada PRU13, wakil rakyatnya Datuk Nawawi Ahmad menang besar dengan majoriti 11,861 undi dalam pertandingan tiga penjuru, kali ini beliau terpaksa berdepan dengan gergasi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding atas simbol PKR setelah menyertai pembangkang dan diangkat sebagai Pengerusi PPBM tahun lepas.
Seorang lagi pencabar bagi kerusi Parlimen Langkawi pada PRU14 ialah Ketua Bahagian PAS Langkawi Zubir Ahmad.
Bagaimanapun Pensyarah Kanan Jabatan Sosio-Budaya Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata sejauh manakah pengaruh Dr Mahathir masih bertapak di Pulau Mahsuri itu dan adakah beliau mampu menyebabkan "upset" kepada BN, masih belum dapat dipastikan.
Di wilayah pantai timur, Awang Azman meramalkan akan berlaku pertarungan sengit kerusi Parlimen Bachok berikutan undi majoriti yang diraih pemenangnya Ahmad Marzuk Shaary daripada PAS pada PRU13 sangat kecil iaitu hanya 201 undi.
Bachok akan menghadapi pertandingan tiga penjuru antara Pengerusi Mara Datuk Dr Awang Adek Hussin (BN), Mohd Zulkifli Zakaria (PKR) dan Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz.
Awang Azman percaya pertandingan hanya akan berlaku antara Awang Adek dan Nik Abduh untuk kerusi ini, dan kedua-duanya mempunyai peluang yang sama untuk menang.
"Awang Adek sebagai Pengerusi MARA dilihat mampu membawa manfaat kepada penduduk di sana sekiranya beliau dipilih. Nik Abduh pula ialah anak Allahyarham Mursyidul PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, tetapi beliau dilihat sebagai bersikap mesra kepada UMNO."
"Jadi semua ini akan menjadi faktor yang boleh menpengaruhi pola pengundian di Bachok," katanya.
Di wilayah tengah, kerusi panas yang akan mendapat perhatian dan menjadi rebutan ialah Bentong di Pahang. Kerusi yang disandang Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sejak empat penggal itu adalah kritikal kerana ia bakal menentukan hidup-mati karier politik Liow.
Pada PRU13, beliau hanya mampu mempertahankan kerusi itu dengan 379 undi majoriti. Malah apa yang akan menjadi lebih signifikan daripada itu ialah, keputusan yang diperoleh nanti juga akan menentukan kelangsungan MCA dalam landskap politik negara.
Dalam pada itu, Awang Azman berpendapat bagi mempertahankan kerusi Bentong, Liow yang kini berdepan pertandingan tiga penjuru dengan Wong Tuck (PKR) dan N. Balasubramaniam (PAS) perlu bergantung harap kepada undi pemilih Melayu yang merupakan 43 peratus daripada 67,359 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen itu.
Begitu juga bagi kerusi Parlimen Teluk Intan yang dimenangi tipis 238 undi majoriti oleh Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong. Beliau akan dicabar orang kuat DAP Nga Kor Ming daripada DAP dan Ahmand Ramadzan Ahmad Daud daripada PAS pada 9 Mei.
Di Sabah, kerusi Parlimen Semporna wajar mendapat perhatian khusus kali ini. Meskipun penyandangnya Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal dicabar tiga lagi calon, namum fokus akan tertumpu kepada Shafie dan calon BN iaitu Ketua Penerangan UMNO Semporna Datuk Ramlee Marahaban.
Shafie, yang pernah menjadi Naib Presiden UMNO dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Wilayah sebelum dipecat pada Julai 2015 mempunyai sokongan kuat akar umbi di kawasan yang diwakilinya itu sejak 1995.
Ramlee pula yang merupakan pembantu Menteri Kewangan Sabah dilihat mempunyai sumber dan akses untuk membantu membangunkan kawasan itu sekiranya berjaya dipilih sebagai wakil rakyat baharunya.
Semporna ialah pertarungan antara personaliti lawan parti, dan 9 Mei akan menjadi saksi di mana letaknya kesetiaan pengundi Semporna, sama ada pada Shafie ataupun UMNO.
Perhatian turut terarah kepada pertandingan satu lawan satu antara BN dan DAP dalam merebut kerusi Parlimen Stampin di Sarawak.
Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian yang juga ADUN Batu Kawa ialah ayam tambatan BN di Stampin manakala DAP diwakili Pengerusi Negerinya Chong Chien Jen.
Awang Azman berpendapat, Dr Sim yang merupakan Menteri Kerajaan Tempatan Negeri Sarawak mahu bertanding kerusi Parlimen itu untuk membuktikan beliau mempunyai faktor kepimpinan tersendiri untuk memenangi pilihan raya ini dan bukannya atas pengaruh Allahyaham Tan Sri Adenan Satem seperti pada pilihan raya negeri Sarawak pada 2016.
-- BERNAMA