Manifesto khas Bagan Datuk bakal bawa perubahan kepada penduduk
BAGAN DATUK, 28 April (Bernama) -- Penduduk di Parlimen Bagan Datuk menyifatkan manifesto khas Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan Datuk yang dilancarkan hari ini bakal membawa pelbagai perubahan untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat di kawasan ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga calon bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melancarkan manifesto khas itu bagi merancakkan lagi pembangunan dan kemakmuran ekonomi daerah ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
Rata-rata penduduk yang ditemui juga melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Ahmad Zahid kerana Aku Janji khas itu menawarkan pelbagai projek pembangunan di daerah Bagan Datuk.
Megat Kamarudin, 30, dari Hutan Melintang berkata manifesto bertemakan 'Bersama BN, Hebatkan Bagan Datuk Kita' itu akan membawa banyak perubahan termasuk menyediakan peluang pekerjaan seperti yang dikehendaki anak muda kelahiran Bagan Datuk.
"Saya sebagai anak muda kelahiran Bagan Datuk bangga dengan begitu banyak peningkatan kemajuan di daerah ini antaranya pembangunan infrastruktur, jalan raya dan pendidikan demi kelangsungan penduduk."
"Jika dulu di sini hanya ada pokok kelapa dan kelapa sawit tetapi sekarang pembangunan meningkat secara drastik," katanya yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Bagi Rosni Idris, 57, dari Kampung Sungai Lancang di sini pula, sejak daerah ini mempunyai pemimpin nombor dua negara, kerajaan BN gigih membawa pelbagai pembangunan ke sini.
-- BERNAMA