Pertandingan tiga penjuru di tiga parlimen di Perlis




Oleh Zainal Abdul Jalil

KANGAR, 28 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Perlis hanya boleh kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika calon-calonnya disabotaj oleh anggota-anggota parti sendiri, kata seorang penganalisis politik.

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata ini kerana kedudukan BN Perlis cukup mantap apatah lagi jentera PRU parti itu lebih kuat berbanding lawan-lawannya.

"Parti-parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tidak menonjol di Perlis kecuali PAS."

Pertandingan tiga penjuru pula memberi kelebihan kepada BN kerana pengundi akan berbelah bagi menyebabkan sebahagian akan mengundi PH dan sebahagian mengundi PAS manakala pengundi BN tetap dapat kepada BN,? katanya kepada Bernama semasa dihubungi, hari ini.

PRU14 kali ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kesemua tiga kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau antara BN, PH dan PAS.

Bagi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, 14 kerusi membabitkan tiga penjuru manakala hanya DUN Titi Tinggi menyaksikan pentandingan empat penjuru antara ketiga-tiga parti tersebut dengan seorang bekas anggota jawatankuasa UMNO bahagian Padang Besar, Yaacob Man, 59, bertanding sebagai calon Bebas.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa UUM itu berkata BN tidak boleh ambil ringan cabaran lawan-lawan mereka kerana PH sedar tanpa tokoh tempatan yang berwibawa mereka menjalankan berkempen secara agresif selama lebih dua tahun untuk mendapatkan sokongan pengundi.

Mohd Azizuddin berkata ?ramai pengundi yang tinggal di luar Perlis terutama bawah umur 40 tahun akan pulang untuk mengundi dan mereka ini sukar diramal.

"Golongan ini boleh mempengaruhi pengundi dalam negeri dengan isu-isu nasional seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1MDB memandangkan tiada isu tempatan yang boleh mempengaruhi pengundi.

"Saya masih yakin antara mereka ini ramai yang rasional dan melihat aspek pembangunan ekonomi yang berlaku di Perlis dalam jangka panjang serta peluang pekerjaaan yang bakal wujud sebelum membuat keputusan untuk menukar kerajaan," kata pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa UUM itu.

Mengenai PAS yang mempertaruhkan Mursyidul Amnya, Hashim Jasin di Parlimen Arau bagi menentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Mohd Azizuddin berkata pertembungan dua tokoh memang dinanti-nantikan.

PH pula menyandarkan harapan pada anggota jawatankuasa PPBM Arau yang merupakan ahli akademik dan rakan sekolah Shahidan, Datuk Dr Abdul Rahman Daud.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang berpindah dari DUN Pauh ke DUN Bintong pula menghadapi Mokhtar Che Kassim (PKR-AMANAH) dan Abd Jamil Kamis (PAS).

Mengenai peletakan jawatan naib pengerusi MCA Perlis yang juga bekas ADUN Titi Tinggi, Khaw Hock Kong yang tidak dicalonkan semula, beliau berkata BN harus menangani isu tersebut dengan pantas.

Pada PRU13, Khaw menang dengan majoriti 1,486 undi ke atas calon DAP, Teh Seng Chuan yang mendapat 2,439 undi manakala Yaakob, meraih 968 undi.

DAP pula mencalonkan Seng Chuan bertanding kerusi sama sekali lagi.

Pembakaran Bilik Gerakan BN cawangan Kampung Ngulang Selatan dalam DUN Mata Ayer yang dipercayai angkara khianat semalam dan protes akar umbi sehingga dibawa ke majlis pengumuman calon di Dewan 2020 Khamis lepas adalah contoh jelas rasa tidak puas hati penyokong-penyokong calon tertentu.

"Isu ini juga perlu ditangani dengan bijaksana atau BN terpaksa menerima akibatnya," kata beliau dan menambah pencalonan beberapa calon baharu dan penampilan semula dua bekas anggota Exco kerajaan negeri (2004-2008), Azihani Ali yang diletakkan di DUN Sena dan Datuk Azam Rashid di DUN Kuala Perlis adalah langkah berani BN Perlis.

Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Abidin akan mempertahankan Parlimen Padang Besar manakala bekas Senator, Ramli Shariff di Parlimen Kangar.

Zahidi ditentang ketua PPBM bahagian Padang Besar, Izizam Ibrahim dan anggota jawatankuasa PAS Pusat, Mokhtar Senik manakala Ramli menghadapi cabaran Noor Amin Ahmad (PKR) dan Mohamad Zahid Ibrahim (PAS).

-- BERNAMA