Calon-calon pertalian keluarga berentap dalam PRU14




Oleh Rhoma Ahmad Razali

KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bakal menyaksikan calon-calon yang mempunyai pertalian keluarga mewakili pelbagai parti selain calon Bebas berentap bagi merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara yang mencuri tumpuan adalah pertembungan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan adik kandungnya iaitu selebriti kontroversi Azwan Ali bagi kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

Azwan yang turut dikenali dengan gelaran 'Diva AA' bertanding sebagai calon Bebas dan sebelum ini sering mengkritik abangnya itu yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Antarabangsa sejak 2008.

Pada PRU kali ini, kerusi tersebut menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Mohamed Azmin (PKR), Azwan (Bebas), Salwa Yunus dari Barisan Nasional (BN), Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Kamarudin.

Di Sabah, Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan menentang sepupunya, Datuk Seri Nasir Sakaran daripada BN dalam saingan satu lawan satu bagi kerusi DUN Senallang. Mohd Shafie turut bertanding di kerusi Parlimen Semporna yang disandangnya. Adik Mohd Shafie, Datuk Mohammad Yusof Apdal pula bertanding di DUN Lahad Datu mewakili BN.

Satu lagi pertembungan anggota keluarga berlaku di DUN Tambunan juga di Sabah, yang menyaksikan adik-beradik Kitingan - Tan Sri Joseph Pairin Kitingan daripada BN dan Datuk Dr Jeffrey Kitingan daripada parti STAR bertanding merebut kerusi tersebut.

Pasangan adik-beradik itu sebelum ini pernah mencuri tumpuan pada dua pilihan raya umum sebelum ini iaitu pada 2008 dan 2013 apabila bertembung di kerusi Parlimen Keningau yang menyaksikan Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menewaskan Jeffrey pada kedua-dua pilihan raya tersebut.

Beberapa calon lain yang mempunyai pertalian keluarga turut disahkan bertanding dan kebanyakannya bukanlah nama asing dalam arena politik tanah air malah adalah penyandang kerusi-kerusi yang ditandingi kali ini.

Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang juga Pengerusi BN negeri itu akan mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga, manakala adiknya Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis.

Anak Musa pula, Yamani Hafez akan membuat kemunculan pertama dalam pilihan raya apabila mewakili BN bagi kerusi Parlimen Sipitang.

Perlis pula menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri mempertahankan kerusi Parlimen Arau, manakala adiknya Datuk Ismail Kassim akan mempertahankan DUN Tambun Tulang.

Turut terlibat dalam pilihan raya kali ini ialah Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mewakili BN dan adiknya Khalid dari Parti Amanah Negara yang akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Johor Baharu dan Parlimen Shah Alam.

Jika dibandingkan dengan BN, calon-calon daripada pembangkang yang mempunyai pertalian keluarga adalah lebih menyerlah terutama membabitkan keluarga 'Anwar', 'Lim' dan 'Singh'.

Walaupun Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpeluang menyertai PRU ini kerana menjalani hukuman penjara, dua anggota keluarganya iaitu isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulung mereka, Nurul Izzah masing-masing bertanding di Parlimen Pandan dan Parlimen Permatang Pauh.

Wan Azizah, yang juga presiden PKR, adalah penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, namun meninggalkan kawasan itu untuk bertanding di Parlimen Pandan manakala Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, meninggalkan Parlimen Lembah Pantai untuk bertanding di Parlimen Permatang Pauh.

Kerusi Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR dan disifatkan kerusi tradisi keluarga Anwar yang mana Anwar dan Wan Azizah telah memegang kerusi itu sejak 1982, termasuk ketika Anwar berada di dalam BN.

Sementara itu, dua anggota keluarga 'Lim' iaitu Lim Kit Siang yang juga penasihat DAP bertanding di kerusi Parlimen Iskandar Puteri (dahulu dikenali Gelang Patah) di Johor manakala anaknya yang juga Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng akan mempertahankan kerusi Parlimen Bagan dan DUN Air Putih di Pulau Pinang.

Anak-anak kepada bekas pengerusi DAP mendiang Karpal Singh pula iaitu Gobind Singh Deo, Ramkarpal Singh dan Jagdeep Singh Deo akan mempertahankan kerusi masing-masing iaitu Parlimen Puchong, Parlimen Bukit Gelugor dan DUN Datuk Keramat.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula yang kembali ke pentas pilihan raya bertanding di kerusi Parlimen Langkawi manakala anaknya Datuk Seri Mukhriz bertanding bagi kerusi Parlimen Jerlun dan DUN Jitra.

Gagasan Sejahtera pula menampilkan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang yang mempertahankan kerusi Parlimen Marang manakala anaknya Ketua Pemuda PAS negeri, Muhammad Khalil membuat penampilan pertama dalam pilihan raya di DUN Batu Buruk, Terengganu.

Anak-anak bekas Menteri Besar Kelantan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Mohamad Abduh yang mewakili PAS bertanding di Parlimen Bachok, manakala Nik Omar mencetuskan kontroversi apabila mewakili PKR-Amanah di DUN Chempaka.

-- BERNAMA