Empat kali tewas, calon bebas tidak serik bertanding
KOTA BHARU, 28 April (Bernama) -- Walaupun sudah empat kali tewas dalam satu pilihan raya umum (PRU) dan tiga pilihan raya kecil (PRK), calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama Izat Bukhari Ismail Bukhari, 51, tidak serik untuk tampil sekali lagi bertanding dalam PRU14.
Beliau berkata kekalahan yang dialami sebelum ini tidak pernah memudarkan semangatnya untuk bertanding sekali lagi atas tiket Bebas.
"Memang dah empat kali saya kehilangan wang pertaruhan tetapi ia berbaloi kerana dapat bersaing dengan calon parti besar lain dan saya makin dikenali rakyat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Anak kelahiran Kota Bharu itu sebelum ini menyertai PRU13 dan bertanding DUN Pengkalan Kubor, PRK juga di DUN Pengkalan Kubor, PRK DUN Chempaka dan PRK Parlimen Kuala Kangsar.
Bagi PRU14, beliau akan menentang empat calon lain iaitu penyandang DUN Kota Lama Datuk Annuar Tan Abdullah calon Barisan Nasional Chua Hock Kuan, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Ab Rahman (PKR-PPBM), dan Khairul Nizam Abd Ghani (Parti Sosialis Malaysia).
"Saya harap kali ini saya mendapat lebih banyak undi dan para wartawan dapat memberi sokongan kepada saya memandangkan pengamal media menggunakan pen untuk menulis selari dengan logo yang saya gunakan kali ini," katanya.
-- BERNAMA