Pemuda UMNO Labuan selar bekas anggota parlimen sokong pembangkang

LABUAN, 28 April (Bernama) -- Pemuda UMNO Labuan hari ini menyelar tindakan bekas Anggota
Parlimen Labuan menyokong calon Parti Warisan Sabah yang bertanding bagi kerusi Parlimen Labuan.
Ketuanya, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan bagaimanpun berkata jentera pilihan raya BN Labuan tidak perlu bimbang tentang langkah bekas Anggota Parlimen itu kerana tindakannya tidak akan menjejaskan kekuatan calon BN.
"Dia tidak lagi relevan dengan Labuan dan rakyat kerana tidak memberi sebarang sumbangan semasa menjadi Anggota Parlimen dulu."
"Sokongan rakyat, terutama dalam kalangan pengundi muda kepada calon BN, Datuk Rozman Isli, telah meningkat dengan banyaknya sejak Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Kolej Metrikulasi Labuan di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengiringi Rozman ke pusat penamaan calon itu.
Rafi, yang juga setiausaha politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan, berkata sokongan pengundi muda kepada BN akan meningkat kepada lebih 85 peratus berdasarkan arah aliran dalam PRU13.
-- BERNAMA