Pencalonan ditolak bukti kecuaian, ketidakseriusan pembangkang - penganalisis

Oleh Mohd Hisham Abdul Rafar
SEREMBAN, 28 April (Bernama) -- Kegagalan calon pakatan pembangkang untuk menyerahkan borang pencalonan kerana tidak memenuhi syarat serta menampilkan calon yang tidak layak bertanding kerana sabitan mahkamah jelas memperlihatkan sikap cuai dan ketidakseriusan, menurut penganalisis politik.
Mereka berpendapat perkara membabitkan calon pakatan pembangkang pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini membuktikan bahawa hasrat untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara dan negeri daripada Barisan Nasional (BN) cuma omongan kosong.
"Jika perkara sekecil itu pun mereka tidak mampu fokus, bagaimana hendak mentadbir negeri dan negara," kata Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin kepada Bernama.
Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) itu berkata sepatutnya pimpinan parti pembangkang sudah mengingatkan kesemua calon mereka mempersiapkan diri bagi memastikan urusan penamaan calon berjalan lancar dengan memenuhi syarat yang dikehendaki Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Saya juga dimaklumkan rakan ada dalam kalangan calon pakatan pembangkang tidak membawa kad pengenalan asal dan hanya membawa salinan sahaja selain kes tidak memiliki pas calon untuk masuk menyerahkan borang. Ini satu kecuaian dan mempamerkan ketidakseriusan," katanya.
Calon PKR Dr S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa pas calon seperti yang disyaratkan SPR untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon, sekali gus memberi kemenangan percuma kepada calon Barisan Nasional (BN) Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Sementara pencalonan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua bagi bertanding kerusi Parlimen Batu ditolak SPR kerana disabitkan satu kesalahan di mahkamah dan dikenakan denda RM2000 yang secara automatik hilang kelayakan untuk bertanding sebagai anggota Parlimen.
Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, Pahang Che Hamdan Che Mohd Razali, beliau berpendapat kemenangan diraih Mohamad hari ini menjadi satu cabaran kepada pakatan pembangkan meneruskan agenda merampas Negeri Sembilan daripada BN.
"Secara moralnya, ia telah memberikan satu persepsi negatif kepada rakyat terhadap kesungguhan dan komitmen pakatan pembangkang."
"Bagi BN pusat, kemenangan percuma (Mohamad) yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO ini merupakan satu signal untuk terus menggembleng tenaga memastikan mereka mampu mengekalkan kuasa bukan sahaja di negeri-negeri tetapi juga di peringkat pusat," katanya.
Mengulas lanjut, Che Hamdan berkata kemenangan Mohamad itu akan meningkatkan lagi moral jentera BN untuk bekerja keras memastikan parti itu terus mendapat mandat daripada rakyat.
Beliau berkata langkah BN menampilkan gandingan lama dan muka baharu sebagai calon berjaya mengimbangi serta membuka peluang untuk BN Negeri Sembilan meraih majoriti dua pertiga.
"Bagi MCA pula, kehadiran lapan muka baharu menunjukkan bahawa mereka serius mahu menebus kekalahan teruk pada pilihan raya umum yang lalu di Negeri Sembilan," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Ahmad Tarmizi Talib pula berpendapat kemenangan tanpa bertanding Mohamad tidak memberi banyak kelebihan kepada BN.
"Pertandingan akan berlangsung secara adil baik kepada BN mahupun pakatan pembangkang" katanya.
-- BERNAMA