Pertandingan tujuh penjuru jadi tarikan PRU14




KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Pertandingan tujuh penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Sabah menjadi pertembungan berbilang penjuru dengan calon paling ramai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Tujuh calon yang bertanding untuk merebut kerusi DUN berkenaan ialah Ahmad Dullah (PAS), Lim Ting Khai (Barisan Nasional-LDP), Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon (Harapan Rakyat), Abrani Akum (PKR-Amanah), Sarifudin Hata (Warisan), Azizul Tandek (PKS) dan Mohd Nasir Sumadi (USNO).

Pertandingan enam penjuru pula berlaku di 11 kerusi iaitu sembilan kerusi DUN dan dua Parlimen.

Ia melibatkan kerusi DUN Inanam, Banggi, Pitas, Bingkor, Sekong dan Bugaya serta kerusi Parlimen Beluran dan Keningau di Sabah.

Tiga kerusi DUN Pulau Pinang iaitu Jawi, Sungai Pinang dan Perai turut menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Selain itu, PRU14 bakal menyaksikan 37 pertandingan lima penjuru iaitu enam kerusi Parlimen dan 31 kerusi DUN manakala pertandingan empat penjuru adalah sebanyak 113 yang melibatkan 33 kerusi Parlimen dan 80 kerusi DUN.

DUN Bukit Antarabangsa menjadi pertembungan lima penjuru yang menarik perhatian ramai apabila ia melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR) dan adiknya Azwan Ali (Bebas), Salwa Yunus (BN), Ahmad Kamarudin (PRM) dan Syarifah Hazlizah Syed Ariffin (PAS).

Pertandingan tiga penjuru adalah yang paling popular dalam PRU14 yang melibatkan kerusi DUN dan Parlimen dengan jumlah pertandingan adalah sebanyak 494 iaitu hampir tujuh kali ganda mengatasi 70 pertandingan satu lawan satu.

Penolong Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Dr Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah yang juga pensyarah Universiti Utara Malaysia ketika dihubungi berkata kedudukan PAS yang tidak lagi bersama Pakatan Harapan dan peningkatan calon Bebas menyumbang kepada pertambahan berbilang penjuru dalam PRU14.

"PAS membayangkan ia mempunyai peluang yang agak sama dalam memberi saingan kepada parti-parti lain. Selain itu, kedudukan negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen membolehkan pertandingan lebih daripada dua parti berlaku dalam pilihan raya umum," katanya.

PRU14 menyaksikan perebutan 222 kerusi Parlimen dan 504 kerusi DUN.

Namun, BN sudah pun memenangi satu kerusi DUN menerusi Pengerusi BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang mempertahankan tanpa DUN Rantau pada hari penamaan calon hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 hari bermula hari ini untuk berkempen sebelum pengundian awal diadakan pada 5 Mei dan pengundian 9 Mei.

-- BERNAMA