Pengumuman calon terlewat lebih dua jam gara-gara kerenah calon bebas




GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Pengumuman calon bagi kerusi Parlimen Bayan Baru dan kerusi Dewan Undangan Negeri Batu Uban, Pantai Jerejak serta Batu Maung di pusat penamaan calon di SJK (C) Min Sin di sini hari ini terlewat lebih dua jam berikutan kejadian yang tidak dijangka.

Ia berlaku apabila aktivis sosial, A.Rajendra, yang tiba di pusat itu pada 9.05 pagi ingin bertanding sebagai calon Bebas bagi kerusi Parlimen Bayan Baru dan kerusi DUN Batu Uban, tetapi tidak dapat mengemukakan dokumen diperlukan seperti diminta Pegawai pengurus Pilihan Raya, Mohd Jamil Mohamed.

Pegawai itu berkata oleh kerana Rajendra telah bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini bagi kerusi Batu Uban, beliau perlu mengemukakan penyata kewangan, tetapi Rajendra gagal berbuat demikian.

Berikutan itu, Rajendra, 50, yang memakai pakaian tradisional Tamil, meninggalkan pusat penamaan calon itu sebelum diumumkan sebagai tidak layak menjadi calon.

Pada pilihan raya umum sebelum ini, Rajendra hanya mendapat 28 undi dan sekali gus hilang wang pertaruhan.

Kerusi Parlimen Bayan Baru akan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Yim Boon Leong (MU), Sim Tze Tzin (PKR), Chuah Seng Guan (BN-MCA) dan Iszuree Ibrahim (PAS).

Bagi kerusi DUN Pantai Jerejak, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution Ismail akan menghadapi pertandingan empat penjuru dengan Yim Boon Leong (MU), Mohd Farhan Yusri (PAS) dan Oh Tong Keong (BN-Gerakan), manakala kerusi DUN Batu Uban akan menjadi rebutan antara Hng Cher Wey (BN-Gerakan), Datuk M. Vikneswaran (PAS-DHPP), A Kumaresan (PKR), Teoh Kean Liang (PFP) dan Teoh Kok Siang (MU).

Kerusi DUN Batu Maung pula akan menyaksikan pertandingan antara Abdul Halim Hussain (PKR), Saiful Lizan Yusoff (PAS) dan Liakat Ali Mohamed Ali (BN-UMNO).

-- BERNAMA