Puad batal niat bertanding atas nasihat Sultan Johor




JOHOR BAHRU, 28 April (Bernama) -- Tindakan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membatalkan hasratnya untuk bertanding calon Bebas di Parlimen Batu Pahat hari ini atas nasihat Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman rasmi Facebooknya, Mohd Puad berkata beliau amat berterima kasih atas keprihatinan, tunjuk ajar serta nasihat baginda yang disifatkan banyak hikmahnya.

"Sebagai bangsa Johor, saya akhirnya mengambil keputusan tidak bertanding atas tiket bebas setelah mendapat nasihat daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor.

"Sebagai rakyat Johor yang setia kepada Rajanya, saya patuh kepada titah Tuanku Sultan Johor kerana saya yakin sudah tentulah Tuanku memberikan nasihat itu atas kepentingan 'Bangsa Johor'," kata beliau dalam kenyataan itu, di sini, malam ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan perkara itu memandangkan banyak pihak yang cuba menghubunginya untuk mendapatkan penjelasan mengenai ketidakhadirannya ketika proses penamaan calon pagi tadi.



Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu hari ini sah tidak bertanding selepas didapati tidak menghantar borang pencalonan di Pejabat Daerah Batu Pahat, di sini, hari ini.

Beliau sebelum ini dikhabarkan akan bertanding atas tiket Bebas setelah kecewa namanya digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) Johor yang diumumkan Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.

Ketua Bahagian UMNO Batu Pahat itu pernah menjadi Anggota Parlimen Batu Pahat selepas berjaya menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,968 undi pada 2008 ketika PRU12.

Bagaimanapun, pada PRU lepas, beliau tewas kepada calon PKR Datuk Mohd Idris Jusi dengan majoriti 1,732 undi.

Tempat Mohd Puad digantikan oleh Ketua Wanita UMNO Bahagian Batu Pahat Haliza Abdullah yang bakal berdepan dengan pertandingan tiga penjuru menentang Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed dan Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Pengesahan berkenaan dibuat oleh Pegawai Pengurus Mohd Haffiz Ahmad yang mengumumkan nama-nama calon yang sah bertanding pada pukul 11.27 pagi tadi.

-- BERNAMA