PAS di luar lingkaran, kelebihan kepada BN di P.Pinang

GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Semasa berada dalam Pakatan Rakyat (PR) pada 2013, PAS hanya tinggal 'nyawa-nyawa ikan' di Pulau Pinang selepas hanya menang satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Selepas menguburkan PR apabila memutuskan ikatan dengan sekutu DAP pada 2016 dan setahun kemudian dengan PKR, PAS kini bersendirian dengan mempertaruhkan majoriti calon muda dan profesional di 18 kerusi DUN dan enam di kerusi Parlimen di negeri pimpinan DAP itu pada PRU14, 9 Mei ini.
Persoalan sekarang ialah mampukah parti Islam itu mengubah senario politik di negeri kubu kuat DAP itu, sekali gus memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) untuk mencipta kejutan di Pulau Pinang selepas kehilangan pentadbiran negeri itu pada PRU12.
Jika dilihat daripada segi sokongan dan calon-calon yang ditampilkan BN dan PAS serta isu-isu yang membelenggu kerajaan negeri itu, tidak mustahil dominasi Pakatan Harapan boleh digugat, sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti yang diperoleh mereka.
Kawasan-kawasan seperti Parlimen Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau yang dimenangi calon BN pada PRU13 dilihat sukar digugat apabila BN mengekalkan penyandang kerusi berkenaan iaitu Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas), Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya (Balik Pulau) dan Datuk Shabuddin Yahya (Tasek Gelugor).
Senario berbeza pula dilihat di Parlimen Permatang Pauh, kawasan kubu kua' PKR, yang menyaksikan penyandangnya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail 'menyerahkan' kerusi itu kepada anaknya yang juga naib presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.
Nurul Izzah dijangka mendapat tentangan sengit daripada calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, ditambah pula dengan tiada lagi undi daripada penyokong PAS di kawasan itu.
Jika dahulu kemenangan PKR di Permatang Pauh turut dibantu daripada undi PAS terutama di kawasan DUN Permatang Pasir yang diwakili wakil rakyat PAS, kini undi untuk calon PKR di kawasan yang majoriti penduduknya Melayu itu telah pecah, sedangkan undi penyokong BN masih kekal.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berkata sumbangan PAS dalam pakatan pembangkang sebelum ini tidak boleh dipandang ringan dan banyak membantu menggerakkan pakatan pembangkang itu pada pilihan raya umum lepas daripada sudut jentera dan undi.
"Dengan PAS berada di luar lingkaran pakatan pembangkang, ia adalah satu hakikat yang majoriti akan turun...tambahan dengan faktor BN meletakkan muka baharu tidak mustahil akan berlaku kejutan," katanya.
Beliau berkata pertandingan banyak penjuru seperti yang lihat daripada penamaan calon pilihan raya di negeri itu ini sebenarnya turut membantu BN dalam meraih undi pada PRU14 ini.
Pada penamaan calon hari ini, Pulau Pinang menyaksikan pertandingan banyak penjuru di kebanyakan kerusi Parlimen dan DUN dengan penyertaan parti-parti berasaskan negeri yang memperjuangkan isu-isu tempatan seperti banjir, tanah runtuh, projek tambak laut dan pembangunan di lereng bukit yang dilihat gagal ditangani kerajaan negeri itu.
Bagi kawasan Parlimen, empat kawasan menyaksikan pertandingan empat penjuru, tiga penjuru di tujuh kerusi dan satu lawan satu di dua kawasan Parlimen manakala bagi DUN, tiga kawasan menyaksikan pertandingan enam penjuru, lima penjuru (8), empat penjuru (11), tiga penjuru (17) dan satu lawan satu di satu kerusi DUN.
"Ini sebenarnya dapat membantu BN kerana DAP hanya kuat jika pertandingan satu lawan satu...jika lebih BN mempunyai kelebihan," kata Azmi.
Beliau berkata gabungan muka lama dan baharu yang diturunkan BN terutama di kawasan-kawasan yang ditandingi Gerakan, juga akan memberi peluang kepada pengundi untuk melihat daripada sisi yang berbeza.
DAP juga boleh dianggap masih bermimpi jika berhasrat untuk menyapu bersih 40 kerusi DUN di Pulau Pinang berikutan pencalonan calon Pakatan Harapan dari PPBM, Yaakob Osman di Penaga ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana mempunyai rekod muflis.
-- BERNAMA