SPR terima 2,333 kertas penamaan calon bagi PRU14




PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 2,333 kertas pencalonan bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sepanjang sejam tempoh penamaan calon yang berlangsung bermula 9 pagi ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata daripada jumlah itu sebanyak 687 kertas pencalonan bagi 222 kerusi Parlimen dan 1,646 bagi 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sepanjang tempoh itu, terdapat 11 kertas penamaan calon ditolak atas pelbagai sebab iaitu tiga kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN," katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya hanya Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding bagi kerusi DUN Rantau, selepas calon PKR, Dr S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas pencalonan kerana gagal membawa bersama pas calon untuk memasuki pusat penamaan.

Selain itu hanya seorang, iaitu K.Kanafatty yang mengemukakan kertas pencalonan sebagai calon Bebas di DUN Skudai, menarik diri semasa tempoh penamaan calon berlangsung, katanya.

Mohd Hashim berkata bagi pencalonan calon kerusi Parlimen, sebanyak 222 adalah daripada BN; 191 (PKR); 158 (PAS); 24 (Bebas); Parti Warisan Sabah-Warisan (17); Parti Harapan Rakyat Sabah-HR (15); DAP (12); Parti Cinta Sabah-PCS (lapan); Parti Rakyat Malaysia-PRM (enam); Parti Bersama Malaysia-MU (lima); Parti Reformasi Negeri-STAR (lima); Parti Sosialis Malaysia-PSM (empat); dan Parti Solidariti Tanah Airku-Solidariti (tiga).

Penang Front Party (PFP), Peace Party Sarawak, Parti Anak Negeri Sabah, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), dan Parti Maju Sabah (SAPP) masing-masing mempunyai dua calon Parlimen.

Selain itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Cinta Malaysia (PCM), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB), Parti Amanah Negara, Parti Alternatif Rakyat (PAP), dan Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) masing-masing seorang calon Parlimen.

Mohd Hashim berkata bagi kerusi DUN pula, sebanyak 505 calon mewakili BN, 448 (PKR), 393 (PAS), 54 (Bebas), 45 (Warisan), 33 (PRM), 26 (HR), 20 (MU), 18 (PCS) dan 16 (PKS).

PSM dan Solidariti pula masing-masing mempunyai 12 calon DUN, PFP (11), PAP dan Parti Anak Negeri Sabah masing-masing sembilan calon, PPRS dan STAR masing-masing lapan calon, DAP (tujuh) dan SAPP (lima).

USNO dan Berjasa masing-masing mempunyai dua calon DUN, manakala PCM, Perpaduan dan Amanah masing-masing mempunyai seorang calon.

Mohd Hashim berkata sebanyak 30 kerusi Parlimen menyaksikan pertandingan satu lawan satu, 151 pertandingan tiga penjuru, 33 pertandingan empat penjuru, enam pertandingan lima penjuru dan dua pertandingan enam penjuru.

Bagi kerusi DUN, pertandingan satu lawan satu melibatkan 40 kerusi, tiga penjuru (343), empat penjuru (80), lima penjuru (31), enam penjuru (sembilan), dan tujuh penjuru (satu), katanya.

Mohd Hashim berkata bagi kerusi Parlimen, seramai 612 calon adalah lelaki dan 75 calon wanita, manakala kerusi DUN terdiri 1,470 calon lelaki dan 176 calon wanita.

Beliau berkata calon tertua bertanding pada PRU14 berumur 92 tahun bagi kerusi Parlimen dan 78 tahun bagi kerusi DUN, manakala calon termuda kerusi Parlimen berumur 22 tahun, dan kerusi DUN pula 23 tahun.

Tarikh pengundian awal pada 5 Mei dan hari pengundian 9 Mei.

Mengikut daftar pemilih suku tahun keempat 2017 yang diwartakan pada 10 April, jumlah pengundi adalah 14,940, 624, dengan jumlah pengundi lelaki sebanyak 7,383,437 (49.42 peratus) dan pengundi wanita 7,557,187 (50.58 peratus).

-- BERNAMA