Pencinta sedia makanan percuma sepanjang kempen di Kota Bahru
Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh (berdiri, kiri) bersama Pengarah Eksekutif Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (PENCINTA) Datuk Seri Izudin Ishak (berdiri, dua kiri) beramah mesra dengan orang ramai sempena Makan Percuma Untuk Semua Warga Kota Bharu anjuran PENCINTA yang diadakan di bekas tapak Petronas, Jalan Long Yunus hari ini. Program diadakan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bermula malam ini hingga 9 Mei.
KOTA BHARU, 28 April (Bernama) -- Persatuan Warga Cinta Negara Malaysia (Pencinta) menyediakan makanan percuma kepada penduduk Kota Bharu sepanjang 11 hari tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei ini, bermula hari ini.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Izudin Ishak berkata program khidmat masyarakat itu bagi memenuhi keperluan penyokong parti terlibat dalam pelbagai aktiviti kempen di Kota Bharu.
Ruang makan yang terletak di tapak sebuah stesen minyak di Jalan Long Yunus di sini, menyediakan pelbagai menu untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 2 pagi setiap hari, katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Program Makanan Persatuan Pencinta di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh.
Beliau berkata pihaknya menyediakan makanan untuk kira-kira 3,000 pengunjung setiap hari.
"Diharap usaha ini mampu memenuhi keperluan makan minum kepada mereka yang bekerja keras sepanjang tempoh PRU14 untuk parti masing-masing," katanya.
-- BERNAMA