178 calon bertanding di 56 kerusi di Pahang
Sumber gambar: slideshare.net
KUANTAN, 28 April (Bernama) -- Seramai 178 calon yang terdiri daripada 47 calon Parlimen dan 131 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) layak bertanding bagi merebut 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini.
Berdasarkan statistik keputusan penamaan calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah calon yang bertanding di kerusi Parlimen, kebanyakannya melibatkan tiga parti utama iaitu Barisan Nasional (BN), PAS dan PKR yang meletakkan calon di semua kawasan kecuali PAS di Triang.
Dalam pada itu, dua parti, Berjasa dan PSM masing-masing hanya meletakkan satu calon di kerusi Parlimen Cameron Highlands manakala dua calon Bebas masing-masing bertanding di kerusi Parlimen Temerloh dan Parlimen Pekan.
Sudah pasti yang menjadi tumpuan adalah kawasan akan dipertahankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi penggal ke-10 iaitu Parlimen Pekan apabila menyaksikan kejutan setelah seorang ahli perniagaan dari Johor, Abdul Kadir Sainudin,39 menawarkan diri untuk bertanding sebagai calon Bebas di kawasan itu.
Ia sekali gus menyaksikan pertandingan empat penjuru di kawasan kubu kuat BN itu apabila cucu kepada Ghafar Baba, juga calon PKR, Mohamad Zahid Mat Arip, serta calon PAS, Kapten (B) Ahiatudin Daud turut bertanding di kawasan itu.
Turut menjadi tumpuan pada PRU14 kali ini ialah Parlimen Indera Mahkota yang menyaksikan dua calon pembangkang iaitu calon PAS, Nasrudin Hassan dan PKR, Datuk Saifuddin Abdullah yang sebelum ini pernah berentap di Parlimen Temerloh pada PRU13, menjadikan kawasan Parlimen itu gelanggang baharu pertarungan mereka.
Mereka akan ditentang Datuk Dr Johan Mat Shah yang merupakan muka baharu diketengahkan oleh BN negeri, namun telah menyimpan kuku untuk turut memberi tentangan sengit kepada dua calon ?otai' berkenaan.
Parlimen Cameron Highlands dan Parlimen Temerloh menyaksikan calon paling ramai melibatkan pertandingan lima penjuru apabila turut diwarnai dengan kehadiran calon dua Bebas termasuk bekas Ketua Pengarang Berita TV3, Mohd Khaidir Ahmad yang juga bertanding di kerusi DUN Lanchang.
Sementara itu, 11 lagi kerusi Parlimen menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Seramai 131 calon DUN merupakan calon daripada dua parti utama BN dan PKR serta rakan sekutunya Amanah, PPBM dan DAP, Mereka akan bertanding di semua 42 kerusi manakala PAS meletakkan 41 calon.
Satu calon PSM turut bertanding di kawasan Jelai manakala empat calon Bebas bertanding di kawasan Panching, Mentakab, Lanchang, Sabai dan Tioman.
Sebanyak enam kerusi DUN, melibatkan pertandingan empat penjuru iaitu di DUN Jelai, Panching, Mentakab, Lanchang, Sabai dan Tioman manakala selebihnya membabitkan pertandingan tiga penjuru kecuali DUN Triang menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
Dilihat daripada aspek kemunculan calon Bebas pula, pada PRU14 kali ini bilangannya menurun kepada separuh iaitu tujuh orang berbanding 16 pada PRU13, pastinya mereka menyedari agak sukar menjadi ?orang yang tiada parti' untuk meraih sokongan pengundi Pahang yang sejak dahulu setia dengan BN.
Sementara itu Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli berkata, proses penamaan calon di Pahang berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan serta tiada individu yang ditolak daripada senarai penamaan calon.
"Proses penamaan bagi 14 kerusi Parlimen dan 42 kerusi DUN bermula mengikut jadual seperti yang ditetapkan dengan pengesahan calon terakhir diterima pada jam 2.30 petang bagi kerusi Parlimen Temerloh.
Dalam pada itu, jumlah pemilih di Pahang yang layak mengundi kali ini adalah berjumlah 823,981 orang.
-- BERNAMA