Manifesto PRU14 BN Labuan tumpu tujuh teras utama





LABUAN, 29 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Labuan hari ini melancarkan kempen hari pertama untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan manifesto yang menumpukan tujuh teras utama ke arah membawa​​​​​​​ pulau ​​​​​​​ bebas cukai itu mencapai kemajuan lebih besar seiring pembangunan Malaysia.

Tujuh teras itu adalah merealisasikan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan ke tanah besar​​​​​​​ Sabah menerusi Menumbok; memastikan pertumbuhan ekonomi pesat dan mampan; menambah baik​​​​​​​ kemudahan dan infrastruktur awam; serta memperkukuhkan kualiti kesihatan dan keselamatan.

BN Labuan turut menetapkan usaha meningkatkan sektor pendidikan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan; memelihara perpaduan dan kesejahteraan rakyat serta melaksanakan pelan pelancongan​​​​​​​ Tahun Melawat Labuan 2021 dalam manifesto tersebut.

Ketika melancarkan manifesto itu, calon BN, Datuk Rozman Isli, yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Labuan, berkata tujuh tonggak itu dirangka bertujuan mentransformasikan Labuan kepada​​​​​​​ persekitaran perniagaan rancak sering aspirasi untuk muncul sebagai pulau yang memiliki standard antarabangsa.

"Berasaskan pelancaran manifesto ini, kepimpinan BN di sini berazam untuk membangunkan pelbagai industri bagi menyokong perubahan Labuan kepada pulau serantau pintar, mampan dan menarik.

"Oleh itu, kita memerlukan mandat besar daripada rakyat dalam PRU14 untuk BN meneruskan dan merealisasikan impian besar bagi pulau ini dan rakyat secara amnya, " katanya.

Rozman berkata pembinaan jambatan yang dicadangkan itu dijangka mula dilaksanakan tahun depan dan siap pada 2023 malah ia akan memacu perubahan ekonomi Labuan serta​​​​​​​ kawasan sekitarnya seperti Menumbok, Kuala Penyu dan Beaufort.

Beliau yakin penyiapan jambatan itu akan merancakkan lagi ekonomi pulau Labuan sekali gus mewujudkan pekerjaan dan aktiviti perniagaan.

"Walaupun jambatan itu siap kelak, namun status Labuan sebagai pulau bebas cukai akan kekal," katanya.

Rozman, berkelulusan ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Institut Pengurusan Asia, berkata​​​​​​​usaha untuk mewujudkan bidang potensi baharu bagi pelancongan, pendidikan, perniagaan dan rekreasi dengan piawaian antarabangsa juga dalam perancangan.

"Selain itu kita juga mahu menyaksikan Lapangan Terbang Labuan dan Pelabuhan Labuan memainkan peranan utama sebagai hab logistik serantau antarabangsa, " katanya.

-- BERNAMA