71 peratus muka baharu reformasi politik BN di Selangor




Oleh Fadzillah Aishah Ismail

SHAH ALAM, 29 April (Bernama) -- Mempertaruhkan lebih 71 peratus muka baharu pada pilihan raya umum kali ini dilihat sebagai satu reformasi politik oleh Barisan Nasional (BN) bagi merampas semula Selangor yang mempunyai 22 kerusi Parlimen dan 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Keputusan itu juga secara tidak langsung dijangka meningkatkan sokongan anggota akar umbi dan rakyat terhadap parti, sesuatu yang sangat-sangat diperlukan oleh BN Selangor ketika ini.

Penganalisis politik, Badrul Azmier Mohamed @ Bakar berpendapat pemilihan calon-calon yang 'fresh' akan menutup peluang pembangkang mencari kesalahan BN kerana calon-calon muka baharu bebas daripada rekod yang boleh dipertikaikan.

"Calon muka baharu tidak ada cerita pasal salah laku yang boleh dijadikan modal untuk pembangkang jatuhkan BN. Oleh itu, lebih mudah untuk pengundi tidak kira Melayu, Cina, India atau apa sahaja kaum pangkah BN dalam usaha mendemokrasikan semula Selangor, " katanya kepada Bernama.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang berlangsung 9 Mei ini, BN mempertaruhkan 56 muka baharu daripada 78 calon dengan lima lagi adalah penyandang kerusi Parlimen, sembilan penyandang DUN selain empat membuat penampilan semula dan empat lagi calon yang tewas pada PRU13.

Pensyarah Sains Politik di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban 3 itu yakin strategi BN kali ini akan membolehkan parti tersebut menang di Selangor atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti dua pertiga Pakatan Harapan.

Menurut beliau, tindakan PAS meletakkan calon hampir di semua kawasan Parlimen dan DUN di Selangor dilihat turut memberi kelebihan kepada BN pada pilihan raya umum kali ini.

"Dari dulu lagi selalunya corak pengundian kalau tiga penjuru atau lebih, akan memberi kelebihan yang tinggi kepada BN, " katanya.

Badrul Azmier dalam pada itu berkata lebih dua juta pengundi di Selangor seharusnya memberi peluang kepada BN untuk meneruskan pembangunan yang telah dimulakan di negeri tersebut sebelum ini.

Katanya beliau percaya BN mampu mentadbir Selangor dengan lebih baik manakala Pakatan Harapan pula boleh berfungsi sebagai pembangkang yang berkesan di negeri itu.

"Buat masa sekarang apa kata kita 'rehatkan' Pakatan Harapan. Mereka boleh jadi pembangkang yang berkesan supaya ada 'check and balance' di Selangor. Beri peluang kepada BN untuk perintah Selangor dengan cara lebih baik berbanding zaman-zaman sebelum ini, " katanya.

-- BERNAMA