Chong Sin Woon sebagai calon BN berkaliber, komited beri khidmat




Oleh Nik Teh Amalina Razali

NILAI, 29 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Seremban, Datuk Chong​​​​​​​ Sin Woon, disifatkan sebagai pemimpin berkaliber yang memiliki sifat rendah diri namun sentiasa​​​​​​​ dilihat komited dalam memberi khidmat kepada penduduk setempat.

Chong, yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, adalah muka baharu yang ditonjolkan BN dalam​​​​​​​ Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Peniaga, Loh Keong Cheng, 34, berkata walaupun Chong kini sudah semakin dikenali ramai, namun beliau tidak pernah sesekali melupakan asal-usulnya malah kerap berkunjung ke pekan lama Nilai untuk bertanya khabar penduduk setempat.

"Sekitar 1980, saya dan Chong berjiran, dan beliau memang dikenali sebagai seorang yang sangat rajin dan peramah, sebab itu sehingga kini namanya sering menjadi bualan kerana keprihatinannya terhadap kebajikan penduduk di sini, " katanya ketika ditemui Bernama.

Jurujual, Zarifah Ludin, 30, pula berharap Chong akan memenangi kerusi Parlimen Seremban kali ini.

​​​​​​​Ini kerana, katanya, beliau inginkan seorang wakil rakyat yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan supaya suara penduduk didengari dan masalah dapat diselesaikan dengan sempurna.

Peniaga, Loo Kok Wai, 48, berkata walaupun Chong sebelum ini bergelar senator, tetapi sikap merendah diri yang ditonjolkan oleh pemimpin muda sepertinya membuatkan penduduk setempat berasa gembira dan dekat dengan beliau.

"Dahulu, kami bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Mohd Said di sini, sejak zaman persekolahan lagi beliau merupakan seorang pelajar yang aktif dalam aktiviti kokurikulum dan sering memegang jawatan penting dalam persatuan.

"Sifat kepimpinan beliau sangat terserlah dari dahulu lagi kerana beliau dipupuk dengan pelbagai nilai positif semasa persekolahan, ini menunjukkan bahawa Chong adalah calon yang tepat untuk masyarakat​​​​​​​ undi pada PRU14, " katanya.

Chong akan ditentang Sharifuddin Ahmad (PAS) dan penyandang kerusi Parlimen Seremban, Loke Siew Fook (PKR-DAP) dalam pilihan raya umum kali ini.

Loke memenangi kerusi itu dalam PRU13 dengan majoriti 12,553 undi.

Terdapat 110,168 pengundi berdaftar di Parlimen Seremban bagi PRU14.

-- BERNAMA