MCA N.Sembilan usaha menangi lebih kerusi pada PRU14




SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- MCA Negeri Sembilan akan bekerja keras untuk memenangi lebih kerusi di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei nanti.

Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon yang juga calon Parlimen Seremban berkata beliau melihat trend sokongan yang diberikan masyarakat Cina terhadap MCA jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum (PRU) lepas.

"Ia tidak seperti mana kita lihat dalam media sosial seolah-olah kita sudah kalah tetapi kalau kita lihat secara realiti terutama di tempat awam, suasananya tidak begitu berbanding PRU lepas.

"Apa yang harus kita lakukan adalah teruskan berkempen dengan baik dan tidak melakukan apa-apa kesilapan besar, saya yakin ini boleh meningkatkan sokongan masyarakat Cina terhadap MCA," katanya ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam bersama MCA Negeri Sembilan di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Lim Chin Fui.

"Kita juga telah melakukan persiapan rapi, kerjasama dengan parti komponen lain jauh lebih baik, dengan keyakinan ini kita yakin menang lebih untuk Negeri Sembilan," katanya.

-- BERNAMA