Cuai ketika penamaan calon cermin PKR gagal urus negara - Ahmad Bashah
ALOR SETAR, 29 April (Bernama) -- Kecuaian calon PKR menguruskan proses penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam, boleh dilihat secara jelas oleh rakyat bahawa parti itu tidak mampu untuk mentadbir negara.
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata bagaimana PKR hendak meyakinkan rakyat dengan slogan 'Selamatkan Negara', sekiranya perkara kecil dan mudah yang perlu dipatuhi pada hari penamaan calon gagal ditangani.
"Kalau benda kecil macam itu pun boleh lupa, macam mana hendak selamatkan negara. Ini menunjukkan bahawa calon dan parti itu sendiri tidak mempunyai kredibiliti dan hanya tahu menyalahkan pihak lain atas kelemahan mereka sendiri.
"Bila pencalonan mereka ditolak, mereka salahkan Barisan Nasional (BN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Saya lihat di sini ada perancangan untuk mewujudkan persepsi bahawa kerajaan tidak bersifat adil kepada mereka," katanya ketika ditemui pada program jualan runtuh Parlimen Alor Setar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penolakan beberapa calon PKR oleh SPR, antaranya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan apabila calon PKR Dr S. Streram dihalang memasuki pusat penamaan calon kerana tidak membawa pas SPR.
Sementara itu, Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN negeri berkata semua manifesto yang ditawarkan BN negeri kepada rakyat Kedah mampu dilaksanakan bersama kerajaan pusat dan komitmen yang tinggi akan diberikan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
"Pembangkang cakap kerajaan tidak mampu hendak laksanakan manifesto yang melibatkan jumlah kewangan yang banyak tetapi kita yakin apa yang ditawarkan kepada rakyat Kedah ini mampu dilaksanakan sebab kita dapat sokongan yang kuat daripada kerajaan pusat," katanya.
-- BERNAMA