Calon PRU14 di Perak digesa jaga perilaku, utamakan keamanan - Zambry
LUMUT, 29 April (Bernama) -- Kesemua calon daripada parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Perak diingatkan supaya menjaga perilaku dan mengutamakan aspek keamanan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata calon juga dinasihati supaya tidak dipengaruhi emosi sehingga boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat sepanjang tempoh kempen.
"Kita mungkin berpolitik dan berkempen tetapi kita perlu juga menjaga adab dan tatasusila supaya tidak membawa keretakan dalam masyarakat.
"Jika (terlalu) mengikut emosi ia akan membawa (perkara) tidak baik kepada negeri dan negara juga," katanya kepada pemberita selepas pelepasan acara berbasikal 'Janamanjung Fellowship Ride' (JMFR) 2018 di Teluk Batik, di sini, hari ini.
Zambry, yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Lumut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pangkor, berkata pendekatan diterapkan dalam BN lebih bersifat rasional tanpa membawa emosi yang tidak elok malah sentiasa turun berada di lapangan bersama-sama masyarakat.
Dalam acara berbasikal itu, sebanyak 1,500 peserta berkayuh sejauh 147 kilometer di sekitar daerah Manjung.
Zamry juga berkata kerajaan negeri sentiasa mengenal pasti bidang utama termasuk penganjuran sukan besar dalam usaha memperkenalkan Perak di peringkat antarabangsa.
Katanya, sehingga kini penganjuran persidangan dan program di Perak mendapat perhatian pelbagai pihak di seluruh negara sekali gus meningkatkan kedatangan pelancong ke negeri ini.
"Kita mengenal pasti bidang utama untuk diperkenalkan seperti (penganjuran) sukan dan persidangan besar. Kita mengadakan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) kesemuanya di Perak, sebagai contoh penganjuran Dialog Pangkor yang popular di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau berkata kewujudan syarikat yang menganjurkan acara sukan besar seperti marathon dan basikal di Perak juga merupakan sebahagian proses pengantarabangsaan negeri Perak.
"Sebagai contoh syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang telah 11 kali menganjurkan program basikal dan syarikat Malakoff Corporation Bhd yang mengadakan sukan marathon di daerah Manjung turut memberi limpahan nikmat kepada rakyat di sekitar kawasan tersebut," katanya.
-- BERNAMA