Tindakan pecat ahli MCA tanding Bebas dan pembangkang wajar - Chong
SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Tindakan MCA memecat beberapa anggotanya kerana bertanding sebagai calon Bebas dan parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah wajar, kata Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Datuk Chong Sin Woon.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Seremban berkata tiada pilihan kedua diberikan kepada mana-mana anggota yang mensabotaj parti dengan bertanding di bawah tiket parti lain selain MCA.
"Kita (MCA) sudah ada keputusan di mana ahli parti yang bertanding bukan atas tiket kita, kita akan pecat, tiada pilihan kedua. Ini kerana kita kena pastikan disiplin dalam parti itu kekal.
"Ini terjadi kerana hendak sangat bertanding tapi tak diberikan peluang. Bagaimanapun, kita kena ikut (arahan) parti kerana yang bertanding ini mewakili parti bukan orang perseorangan. Kalau tak terpilih patutnya kita menyokong mana-mana calon yang dipilih (parti), " katanya kepada pemberita selepas pelancaran manifesto khas untuk Parlimen Seremban di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan MCA yang memecat 12 anggotanya selepas didapati melakukan tindakan bercanggah dengan perlembagaan parti, berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi Lembaga Tatatertib MCA Tan Sri Chor Chee Heung dipetik sebagai berkata tujuh daripada mereka telah bertindak menjadi calon Bebas dan calon parti pembangkang bagi PRU14 manakala lima lagi menjadi pencadang/penyokong atau saksi kepada calon-calon itu.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai kemenangan tanpa bertanding Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau semalam, Chong berkata kejayaan itu merupakan satu suntikan semangat untuknya berusaha bersungguh-sungguh dalam misi merampas kembali Parlimen Seremban daripada DAP.
"Bila dengar pengumuman bahawa Tok Mat (Mohamad) menang, semua jentera lebih bersemangat kerana ketua dah menang dan saya yakin kita akan terus memimpin Negeri Sembilan," katanya.
Kemenangan Mohamad diisytiharkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Amino Agos Suyub di pusat penamaan calon di Dewan Seri Rembau di sini, semalam.
Ini berikutan calon PKR, Dr S. Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa bersama pas calon seperti yang disyaratkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon.
Selain Dr Streram, kedua-dua penyokong dan pencadangnya juga tidak dapat memasuki perkarangan dewan itu kerana tidak mempunyai pas perakuan daripada SPR.
Pengumuman itu menyaksikan Mohamad, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat sejak 2004.
-- BERNAMA