Program bantu rakyat hanya dapat dilaksanakan di Negara Stabil - Salleh
KOTA BELUD, 29 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata semua program kerajaan untuk membantu rakyat hanya dapat dilaksanakan dalam keadaan negara yang stabil dan aman damai tanpa seberang perpecahan kaum serta agama.
Beliau berkata pelaksanaan pelbagai program untuk membantu rakyat di negara ini telah membuktikan bahawa kerajaan Malaysia yang diterajui oleh Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan stabil dan aman damai.
"Kalau kita lihat (berita) di televisyen
kita nampak banyak negara luar tidak stabil dan ada pergaduhan antara kaum dan agama. Oleh itu kerajaan mereka tidak mempu melakukan apa-apa perancangan untuk melaksanakan program yang boleh membantu rakyat.
"Ia berbeza dengan Malaysia. Sejak Merdeka lagi sehingga kini kerajaan yang diterajui BN bukan sahaja bertanggungjawab untuk melaksanakan pembangunan, tetapi telah melaksanakan pelbagai program untuk meningkatkan ekonomi rakyat, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) 4U dan penutupan kursus kemahiran jangka pendek Quick Win, di Kampung Tampasuk 2, dekat sini hari ini.
Kursus Quick Win anjuran Kemas dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tampasuk 2 itu disertai 45 peserta terdiri daripada masyarakat di kampung berkenaan dan antara latihan yang diadakan adalah kursus menjahit.
Mengulas lanjut, Salleh berkata kerajaan sentiasa merancang untuk memastikan rakyat di negara ini hidup dalam keadaan aman dan damai.
"Dalam keadaan negara yang stabil lah kerajaan mampu malakukan perancangan untuk mengukuhkan lagi ekonomi rakyat di negara ini
kerana kestabilan negara itu adalah kunci untuk kita (kerajaan) melaksanakan apa sahaja perkara yang baik untuk negara dan rakyat.
"Semalam kita lihat proses penamaan calon untuk Pilihan Raya Umum ke-14 begitu teratur dan dapat dijalankan dengan aman damai
apabila teratur ia membuktikan demokrasi negara kita subur, " tambahnya.
Salleh berkata selain memastikan kestabilan negara, kerajaan juga sentiasa memberikan tumpuan untuk menyediakan prasarana rakyat seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, serta memastikan pendidikan anak-anak di negara ini terjamin.
"Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan untuk memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang sempurna..bukan itu sahaja golongan dewasa seperti ibu juga diberikan latihan pelbagai bidang yang sudah semestinya meningkatkan ekonomi mereka, " katanya.
Sehubungan itu, Salleh yang juga Bendahari UMNO dan calon BN bagi kerusi Parlimen Kota Belud meminta rakyat khususnya di Kota Belud terus memberi kepercayaan untuk BN menerajui kerajaan di negara ini.
"Oleh itu saya meminta rakyat di sini memberi sokongan padu kepada semua calon BN yang bertanding di Kota Belud pada 9 Mei ini. Apabila BN sudah menang kita boleh terus laksanakan pelbagai program yang telah diadakan oleh kerajaan sebelum ini, " katanya.
-- BERNAMA