Rahman Dahlan mahu jadi 'jambatan' antara warga Sepanggar dengan kerajaan
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
SEPANGGAR, 29 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sepanggar Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mahu menjadi 'jambatan' dan wadah penghubung antara warga daerah ini dengan kerajaan sekiranya beliau dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), selain memperhebatkan lagi program pembangunan di kawasan berkenaan.
Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata tekad itu adalah seiring dengan semangat dan komitmen tinggi beliau untuk melihat pembangunan progresif di Sepanggar, sebuah kawasan di pinggir Kota Kinabalu, ke tahap lebih tinggi sekali gus memenuhi aspirasi penduduk setempat.
Beliau berkata ini termasuk melancarkan dan meneruskan agenda pembangunan sedia ada selain menyelesaikan isu-isu berbandaran yang dihadapi penduduk Sepanggar seperti isu perumahan setinggan, perindustrian, taraf hidup dan sosial.
"Saya beranggapan bahawa penduduk di Sepanggar memerlukan wakil rakyat yang mampu berhubung dengan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana Sepanggar (turut) mempunyai masalah perbandaran (sama) seperti tempat-tempat lain di negara ini.
"(Dengan) kedudukan saya sebagai menteri Persekutuan, sudah tentu saya boleh memberi sedikit kelebihan kepada Sepanggar," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Semarak Perpaduan sempena Sambutan Pesta Kaamatan di Dewan Taman Puterajaya, Telipok dekat sini, hari ini.
Sepanggar, yang terletak kira-kira 30 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu, tidak hanya terkenal sebagai kawasan institusi pendidikan tinggi termasuk Universiti Malaysia Sabah malah menempatkan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Pelabuhan Sepanggar dan industri perkilangan.
Penduduknya yang lebih 300,000 orang juga menyaksikan pertumbuhan sektor perumahan rancak selain mempunyai destinasi pelancongan yang mampu menarik kehadiran ramai pengunjung termasuk di Karambunai.
"Justeru itu, Sepanggar memerlukan seorang wakil rakyat yang mempunyai kredibiliti dan keupayaan memberi perkhidmatan terbaik bagi melonjakkan lagi potensi kawasan berkenaan," katanya.
Pada PRU14 itu, Abdul Rahman yang mewakili BN-UMNO akan dicabar calon Warisan Mohd Azis Jamman, Jeffrey Kumin (SAPP) dan Robert Sopining (PCS) dalam persaingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Sepanggar.
Pada PRU13, penyandang kerusi itu Datuk Jumat Idris menang dengan memperoleh majoriti 9,442 undi.
-- BERNAMA