Pakatan pembangkang pengacau sebenar PRU14 - Pesuruhjaya PAS Kedah




ALOR SETAR, 29 April (Bernama) -- Pakatan pembangkang merupakan pengacau sebenar Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

"Pakatan dakwa PAS sebagai pengacau kepada parti gabungan mereka dalam PRU14 ini, tetapi pengacau sebenarnya ialah Pakatan lah… hakikatnya parti PAS ini wujud lebih lama dalam arena politik Malaysia daripada mereka (Pakatan)," katanya.

Berhubung dakwaan pihak tertentu bahawa PAS tidak lagi menjadi kubu kuat di kawasan tertentu, Ahmad Fakhruddin berkata itu merupakan strategi politik dan perang saraf untuk meremehkan PAS dalam kalangan rakyat.

"Kita (PAS) yakin dengan kemampuan parti dan rakyat lebih bijak menilai soal itu. Jadi tidak perlulah mereka mendabik dada serta memperkecilkan keupayaan PAS," katanya dalam sidang media di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Fakhruddin berkata PAS Kedah akan berkempen secara matang dan sejahtera dengan memfokuskan kepada penerangan intipati manifesto PAS negeri dan pusat.

-- BERNAMA