Khaled tidak ambil mudah persaingan empat penjuru
JOHOR BAHRU, 29 April (Bernama) -- Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengalu-alukan persaingan empat penjuru yang dihadapinya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas serta Parlimen Pasir Gudang pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei ini.
Menteri Besar Johor itu berkata beliau melihat persaingan tersebut adalah sesuatu yang amat serius dan tidak mengambil mudah, terutamanya dalam memastikan kemenangan terus berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
"Kerusi ini menjadi tumpuan kerana kedudukan saya sebagai Pengerusi BN negeri dan Menteri Besar. Kita harus ingat sebelum ini, bekas Pengerusi Perhubungan dan Menteri Besar Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman juga menjadi tumpuan ketika dikalahkan lima tahun dahulu."
"Mungkin sebab itulah tumpuan pada kali ini adalah kepada saya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jimat Belanja Dapur, di Pasar Tani Kekal Permas Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertandingan empat penjuru yang bakal dihadapinya dalam mempertahankan kerusi DUN Permas yang dimenanginya dan kerusi Parlimen Pasir Gudang yang dimenangi wakil BN Datuk Normala Abdul Samad, pada pilihan raya umum lepas.
Pertandingan tersebut bakal menyaksikan beliau berdepan Ab Aziz Abdullah (PAS), Chee Jock (BEBAS) dan Hassan Abdul Karim (PKR) bagi kerusi parlimen manakala untuk kerusi DUN beliau bakal bertemu, juga dengan Ab Aziz selain Datuk Che Zakaria Mohd Salleh (PKR) serta Rohani Yaacob, calon BEBAS.
-- BERNAMA