MCA N.Sembilan yakin rampas Mambau daripada pembangkang
SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Walaupun Barisan Nasional (BN) sebelum ini belum mengesahkan Dafney Ho Choy Sin sebagai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun beliau telah memulakan gerak kerja lebih awal untuk menawan hati pengundi.
Berasaskan itu, Ketua Biro Perundangan Pemuda MCA Kebangsaan, Ng Kian Niam berkata MCA Negeri Sembilan yakin calon BN itu boleh merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambau daripada pembangkang kali ini.
Ho akan bertanding di kerusi Mambau untuk menentang penyandangnya, Yap Yew Weng (PKR-DAP) dan T. Parimala Devi (Parti Alternatif Rakyat- PAP).
Ng berkata Ho ialah seorang yang sangat rajin dan mempunyai semangat perjuangan yang tinggi.
"Walaupun sebelum ini Ho belum disahkan sebagai calon, namun beliau telah memulakan gerak kerja lebih awal dengan mengadakan pelbagai program yang dibantu oleh pasukan yang amat kuat, " katanya dalam ucapan di majlis perasmian Bilik Gerakan DUN Mambau di sini, hari ini.
Hadir sama Penasihat MCA negeri, Tan Sri Wong See Wah.
Ng berkata ia menunjukkan Ho seorang calon yang sangat gigih untuk membela nasib penduduk di kawasan ini selain komited membuat perubahan demi kemudahan mereka pada masa akan datang.
Dalam perkembangan lain, beliau (Ng) yang akan bertanding di Parlimen Rasah berkata antara manifesto yang ditawarkannya untuk penduduk di kawasan itu ialah menjadikan Rasah sebagai bandar hijau.
Bermula Julai tahun lepas, beliau telah telah melancarkan kempen bandar hijau di Rasah, dengan mengadakan program Satu Kampung Satu Pokok Buah-Buahan, begitu juga di peringkat sekolah dan rumah ibadat.
"Saya telah mengedarkan lebih 2,000 anak pokok kepada penduduk di kawasan Rasah," katanya.
Pada PRU14, Ng akan berdepan pertandingan empat penjuru melawan Cha Kee Chin (PKR-DAP), Mohd Khairil Anuar Mohd Wafa (PAS) dan A. David Dass (PAP).
-- BERNAMA