Calon BN DUN Semantan optimis BN pilihan penduduk




TEMERLOH, 29 April (Bernama) -- Calon Barisan Naisonal (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Semantan Datuk Nor Azmi Mat Ludin optimis penduduk di kawasan itu akan memilih BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti kerana mereka kini dahagakan pembangunan yang terabai sejak pembangkang menguasai DUN itu.

Beliau berkata dalam tempoh 10 tahun pembangkang menguasai Kuala Semantan, banyak pembangunan yang sepatutnya diterima daripada Kerajaan Persekutuan tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya akibat ketiadaan wakil rakyat kerajaan.

Selain itu, katanya banyak masalah penduduk tidak dapat diselesaikan oleh wakil rakyat pembangkang terdahulu termasuk isu kesukaran golongan muda mendapatkan tanah di kawasan ini.

"Isu ini akan diberi perhatian sekiranya BN berjaya merampas Parlimen Temerloh dan DUN Kuala Semantan khususnya," katanya pada sidang media selepas mengadakan tinjauan di Pekan Sehari Temerloh di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, Kuala Semantan yang sebahagian besar berada di dalam kawasan pusat bandar Temerloh memerlukan sebuah universiti dalam usaha menjadikan daerah in sebagai hub pendidikan di kawasan tengah Semenanjung.

Beliau perkara ini bukan isu baharu disuarakan tetapi sejak Kuala Semantan dipegang pembangkang 10 tahun lalu, usaha untuk mendapatkan sebuah universiti di kawasan ini telah tergendala.

Justeru, katanya sekiranya menang beliau berazam untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan dan menyelesaikan masalah golongan muda khususnya melibatkan isu permohonan tanah.

Nor Azmi berkata sungguhpun beliau merupakan calon baharu, namun pendekatan yang tidak memilih bulu sepanjang hampir lima tahun berkhidmat sebagai penyelaras DUN Kuala Semantan berjaya mendekatkan dirinya dengan pengundi yang sebelum ini memihak kepada pembangkang .

"Saya percaya dengan jentera yang sudah lama bergerak akan dapat memastikan kemenangan untuk BN bagi Parlimen Temerloh dan Kuala Semantan yang sebelum ini terlepas ke tangan pembangkang, " katanya.

-- BERNAMA