Calon bertanggungjawab semak kelayakan, keperluan dan syarat bertanding
MUAR, 29 April (Bernama) -- Calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) bertanggungjawab menyemak keperluan, syarat serta kelayakan bertanding terlebih dahulu seperti ditetapkan mengikut Perlembagaan Negara.
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim berkata pemimpin yang berjaya tidak akan menyalahkan orang lain atas kesilapan mereka sendiri.
"Ada dua perkara penting yang perlu diketahui calon iaitu pematuhan terhadap perlembagaan negara iaitu syarat-syarat seperti calon tidak hilang akal, hukuman denda dan penjara serta bankrap. Ini jika tidak dipenuhi tiada siapa boleh tolong dan memang tidak layak (jadi calon).
"Satu lagi ialah memenuhi Akta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), jika salah datang dari diri sendiri kenapa salahkan pihak lain? ," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Sekolah 25 (TS25) di Sekolah Kebangsaan Parit Jawa di sini hari ini.
Razali selaku penyandang kerusi parlimen Muar berkata sistem SPR itu sendiri telah melalui pelbagai proses penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata sebagai contoh, SPR telah memudahkan sistem pengisian borang supaya urusan calon untuk bertanding dipermudahkan.
"Kalau dahulu ejaan nama salah pun boleh jadi sebab permohonan ditolak. Tetapi sekarang, kalau sebab isi borang sahaja, tidak mungkin boleh tolak. Tetapi jika ada peraturan penting pun calon tak dapat penuhi macam mana nak jadi pemimpin," katanya.
Semalam, beberapa permohonan calon PH ditolak antaranya disebabkan status kebankrapan dan gagal mempamerkan pas SPR di dalam kawasan penamaan calon.
Ini termasuk calon PPBM bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir Pizi Jihat yang pencalonannya ditolak kerana namanya tersenarai dalam status bankrap.
-- BERNAMA