Masyarakat India jangan terpedaya dengan janji kosong pembangkang
SEREMBAN, 29 April (Bernama) -- Masyarakat India di negeri ini diingatkan supaya tidak terpedaya dengan janji kosong pembangkang yang kini mencuba pelbagai cara untuk meraih sokongan pada pilihan raya umum ini.
Pengerusi MIC Cawangan Rantau C. Rajendran berkata pengundi tidak harus tertipu dengan taktik kotor serta helah pembangkang yang banyak mengelirukan.
"Pembangkang hanya mahu merampas kuasa tanpa mendahulukan kepentingan rakyat. Sebaliknya, BN yang memerintah negara ini lebih 60 tahun terbukti banyak menabur jasa demi pembangunan dan kemajuan negara ini serta mensejahterakan semua rakyat.
"Dakwaan pembangkang bahawa masyarakat India dipinggirkan dan ketinggalan hanyalah tohmahan liar mereka. Selama ini kerajaan BN sentiasa berusaha memajukan kaum India dan kaum-kaum lain di negara ini menerusi pelbagai pelan jangka pendek dan jangka panjang," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau ditemui ketika menyertai kempen calon BN Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin pada Hari Sukan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hua di Rantau dekat sini.
Rajendran yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Rantau berkata masyarakat India kini mendapat pembelaan sewajarnya di bawah kerajaan BN.
Beliau turut menyentuh tindakan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang membangkitkan semangat perkauman di kalangan pengundi India di negeri ini dan Parlimen Rembau berhubung penolakan calon PKR Dr S. Streram masuk ke pusat penamaan calon semalam.
Rafizi dikatakan meminta pengundi India agar 'membalas dendam' terhadap BN.
Rajendran berkata masyarakat India jangan percaya dengan permainan perkauman daripada PKR itu.
Katanya masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada BN kerana Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan telah banyak menjalankan program memberi bantuan dan sumbangan kebajikan serta kesejahteraan masyarakat itu.
-- BERNAMA