Empat Parlimen, empat DUN di Sabah tarik perhatian PRU14 - Analisis




Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 29 April (Bernama) -- Sekurang-kurangnya empat kawasan Parlimen dan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dijangka menarik perhatian para pengundi serta pemerhati politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Kerusi kawasan Parlimen itu melibatkan Semporna; Kimanis; Sepanggar; dan Batu Sapi, sementara kerusi DUN pula merangkumi Senallang; Tambunan, Kiulu; dan Sindumin.

Bagi Parlimen Semporna, bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini Presiden Parti Warisan akan bertarung dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ramlee Marahaban yang juga penyandang kerusi DUN Bugaya pada PRU13.

Pada PRU13, Mohd Shafie mempertahan kerusi Parlimen Semporna atas tiket BN ketika itu dengan majoriti 20,905 undi.

Menurut penganalisis politik dan pensyarah kanan dari Universiti Malaysia Sabah Dr Lee Kuok Tiung, senario politik di Sabah sudah berubah yang menyaksikan kemunculan parti pimpinan Mohd Shafie yang juga bekas menteri kanan di peringkat Persekutuan.

"Walaupun Semporna kubu kuat BN, namun, saya menjangka persaingan pada pilihan raya kali ini sengit kerana Shafie sudah lama berkhidmat sebagai anggota Parlimen di kawasan itu…ini mungkin agak mencabar buat BN," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Lee berkata kerusi Parlimen Kimanis turut mendapat perhatian apabila calon BN Datuk Seri Anifah Aman berdepan dengan calon Warisan iaitu veteran politik Datuk Karim Bujang yang juga bekas anggota DUN Bongawan, satu daripada dua kerusi DUN di bawah Parlimen Kimanis.

Pada PRU13, Anifah menang kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti 5,723 undi.

Lee berkata kedua-dua tokoh itu tidak pernah tewas dalam gelanggang politik terutama dalam pilihan raya umum sebelum ini, dan pilihan raya kali ini merupakan bertembungan pertama mereka.

Bagi kerusi Parlimen Sepanggar pula, Lee berkata perlawanan dijangka hebat antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mewakili BN dan Ketua Wira Warisan Datuk Mohd Azis Jamman kerana kedua-dua mereka dianggap sebagai orang luar di kawasan itu.

Abdul Rahman berasal dari Tuaran, manakala Mohd Azis berasal dari Semporna, katanya.

Mengulas lanjut, Lee berkata, kerusi Parlimen Batu Sapi juga dianggap 'panas' kerana pencabar calon BN Datuk Linda Tsen Thau Lin, iaitu Datuk V.K Liew mewakili Warisan merupakan bekas timbalan menteri Persekutuan dan bekas Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP).

Lee berkata Liew juga pernah menjadi anggota Parlimen Sandakan sebelum tewas kepada calon DAP pada PRU13, bagaimanapun, Linda kekal mempertahan kerusi Parlimen Batu Sapi pada pilihan raya sama dengan majoriti 3,798 undi.

Dalam pada itu, Lee turut meramalkan persaingan sengit bagi kerusi DUN Senallang yang akan menyaksikan Shafie beradu nasib dengan sepupunya iaitu Datuk Seri Nasir Tun Sakaran yang merupakan penyandang kerusi DUN terbabit.

Pada PRU13, Nasir menang kerusi DUN Senallang dengan majoriti 5,909 undi.

Lee berkata persaingan itu menarik kerana ini merupakan percubaan pertama Shafie untuk merebut kerusi peringkat DUN Sabah.

Di DUN Tambunan, Lee berkata, kawasan itu juga bakal menyaksikan pertarungan adik beradik antara calon BN Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan adiknya Presiden Star Datuk Dr Jeffery Kitingan mewakili parti Star.

Pada pilihan raya lepas, Pairin menang kerusi DUN Tambunan dengan majoriti 2,079 undi.

Turut menarik perhatian ialah penyertaan Unduk Ngadau (ratu cantik) Sabah 2007 Jo-Anna Sue Henley Rampas yang memiliki ijazah sarjana dalam bidang undang-undang apabila mewakili Warisan untuk menentang bekas Presiden Persatuan Wartawan Sabah Datuk Joniston Bangkuai, penyandang kerusi DUN Kiulu yang dimenanginya dengan majoriti 44 undi, kata Lee.

Di DUN Sindumin pula, menyaksikan pertembungan dua tokoh veteran politik tempatan iaitu calon BN Datuk Sapawi Ahmad yang juga penyandang kerusi Parlimen Sipitang dengan bekas anggota Parlimen Sipitang Dr Yusof Yacob mewakili Warisan, katanya.

Pada PRU13, penyandang kerusi DUN Sindumin Datuk Ahmad Bujang menang kerusi itu dengan majoriti 4,323 undi.

-- BERNAMA