Semporna sejahtera di bawah BN selama ini - UMNO Semporna
SEMPORNA, 29 April (Bernama) -- Semporna sejahtera di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) selama ini dan penduduk perlu memastikan kemenangan BN di daerah ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini, kata Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Semporna Ahmad Marzuki Nasir.
Beliau berkata anggota UMNO dan penduduk perlu mempertahankan perjuangan dan maruah BN di kawasan Parlimen Semporna yang selama ini diperkotak katik oleh jentera Parti Warisan Sabah (Warisan) melalui provokasi di media sosial yang jelas tidak tepat.
"BN adalah parti terbaik untuk Semporna, kerana di bawah pemerintahan BN, kita terus selesa dan sejahtera, cukup makan dan tidak ada pergolakkan," katanya kepada pemberita selepas program Datuk Seri Nasir Sakaran bersama sayap-sayap UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang di sini, hari ini.
Nasir ialah calon BN bagi mempertahankan DUN Senallang dan akan dicabar Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut bertanding di kawasan Parlimen Semporna.
Ahmad Marzuki mengingatkan pengundi di Semporna bahawa calon parti lawan iaitu Mohd Shafie dahulunya menang di kawasan Parlimen Semporna atas tiket BN.
"Meskipun ada hubungan kekeluargaan, tetapi untuk PRU ini hubungan itu kita simpan dulu (dan pastikan BN menang)," katanya.
Ahmad Marzuki dalam pada itu, menasihatkan jentera pilihan raya UMNO agar tidak berdiam diri jika diprovokasi jentera calon lain sebaliknya membalas dengan memberikan jawapan secara berfakta.
"Kita jangan gentar, kita jangan takut, kita kena berada di kubu masing, jangan bertahan sahaja (balas balik)," katanya.
-- BERNAMA