Calon BN DUN Bayu komited jaga kebajikan anak muda
BALING 29 April ( Bernama) -- Calon baharu Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu dalam Parlimen Baling Mohamed Noor Mohamed Amin komited dengan perjuangannya menjaga kebajikan dan pembangunan anak muda bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 ini.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Baling berkata akan memastikan projek-projek pembangunan seperti pembukaan kawasan industri di Baling yang dijanjikan, direalisasikan bagi mengurangkan beban kos hidup golongan muda.
"Kita akan terus bangunkan Bayu sebagai pusat pentadbiran daerah Baling dengan mempelbagaikan projek besar termasuk yang sedang dan akan dilaksanakan seperti masjid, Hospital Pakar dan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM).
"Ini semua bagi membolehkan rakyat menikmati pembangunan serta limpahan kerja dan semuanya hanya dapat dilakukan jika BN terus memerintah Bayu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau turut nekad membangunkan arena sukan dalam kalangan pelajar di Baling, yang diyakini mempunyai banyak bakat terpendam hingga ke peringkat antarabangsa.
"Selain itu, saya mahu mewujudkan litar mini untuk mencungkil kemahiran pelumba motosikal muda agar mereka dapat beraksi dan mengasah bakat dalam dunia permotoran serta mengelak budaya merempit," katanya.
Mohamed Noor bakal ditentang calon PKR Abdul Rahim Kechik dan Datuk Najmi Ahmad daripada PAS.
-- BERNAMA