Insentif khas pengawal keselamatan jika BN diberi mandat di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 April (Bernama) -- Insentif khas untuk pengawal keselamatan akan diwujudkan oleh kerajaan Terengganu bagi meningkatkan pendapatan mereka sekali gus membantumengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata langkah itu juga bertujuan meningkatkan taraf kerjaya tersebut di mata masyarakat yang sebelum ini agak skeptikal dan memandang rendah pekerjaan tersebut kerana gaji yang kecil.
Beliau berkata bagaimanapun, insentif berkenaan hanya akan direalisasikan sekiranya rakyat Terengganu terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) sebagai kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
"Ini inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan mereka... kerana mereka dikategorikan sebagai golongan kelas pertengahan, dan bantuan khas kurang diberikan kepada mereka seperti yang dinikmati golongan berpendapatan rendah.
"Dengan cara ini juga bidang kawalan keselamatan tidak lagi dipandang rendah... (oleh itu) orang yang berkelulusan tinggi pun boleh memilih bidang ini sebagai kerjaya mereka apabila insentif khas itu dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan taklimat dan sesi dialog industri kawalan keselamatan serta pelaksanaan program pengawal keselamatan bertauliah bersama-sama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Seri Nadzri Siron; Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail dan Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, Datuk Seri Mustapa Ali.
Mengulas lanjut Ahmad Razif berkata bentuk insentif tersebut akan dikaji terlebih dahulu termasuk mengambil kira kemampuan kerajaan negeri sebelum ia dilaksanakan.
"Kita akan buat kajian terlebih dahulu dan setelah itu baru boleh kita masukkan ke dalam bajet kerajaan negeri...apa yang penting insentif itu diharapkan dapat membantu mengurangkan beban kewangan golongan itu yang dihimpit kos sara hidup yang tinggi ketika ini," katanya.
-- BERNAMA