Tambahan 300 pegawai, anggota Jabatan Imigresen di Johor sempena PRU




JOHOR BAHRU, 29 April (Bernama) -- Sebanyak 300 pegawai dan anggota tambahan Jabatan Imigresen Malaysia akan ditugaskan di kedua-dua pintu masuk negara di negeri ini bagi melancarkan pergerakan keluar masuk warga Malaysia yang mahu pulang mengundi sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, pada 9 Mei ini.

Pengarah Imigresen Johor Datuk Seri Rohaizi Bahari berkata penugasan anggota tambahan itu akan berkuatkuasa dari 8 hingga 10 Mei, yang bertujuan membantu anggota sedia ada menjalankan tugas hakiki di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

Tugas-tugas itu termasuk mengawal keadaan lalu lintas dan menjadi pegawai pengganti, kata beliau kepada pemberita di sini, hari ini.

"Sekarang ini, kita ada seramai 250 anggota di BSI dan 100 anggota di KSAB. Jadi, kita akan tambah 100 orang lagi setiap syif di kedua-dua tempat kerana dalam sehari, kita ada tiga syif.

"Selain itu, kita juga telah membekukan cuti kesemua pegawai dan anggota yang kini bertugas di kedua-dua pintu masuk," katanya.

Rohaizi berkata bagi mengelakkan kejadian di luar jangka seperti kegagalan sistem untuk berfungsi, pihaknya juga telah mengarahkan pegawai-pengawai teknologi maklumatnya untuk bersia-sedia utnuk sebarang kemungkinan.

Dalam masa sama, kesemua kaunter turut dibuka bagi mengurangkan kesesakan.

"Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, kita mendapati ada pertambahan sebanyak 120,000 orang yang keluar masuk melalui kedua-dua pintu ini sehari berbanding kira-kira 100,000 sehari tahun lepas.

"Oleh itu, jika ramai yang balik pada hari mengundi ataupun sehari sebelum mengundi, kita jangka akan berlaku kesesakan," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum ini menetapkan 5 Mei sebagai tarikh mengundi awal dan 9 Mei untuk keluar mengundi.

Dianggarkan kira-kira 400,000 rakyat Malaysia kini bekerja di Singapura.

-- BERNAMA