Dr Sim tawar lima teras untuk pengundi parlimen Stampin

Gambar fail
KUCHING, 29 April (Bernama) -- Kerajaan mempunyai beberapa perancangan untuk menambah baik aspek kehidupan masyarakat di kawasan Parlimen Stampin.
Calon Barisan Nasional (BN) kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu Datuk Dr Sim Kui Hian berkata pihaknya telah menggariskan lima teras yang dijadikan manifesto melibatkan projek serta inspirasi khusus kepada rakyat sekiranya beliau dipilih untuk mewakili mereka.
Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata manifesto tersebut merangkumi projek serta inspirasi BN yang akan dilaksanakan di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kota Sentosa, Batu Kitang dan Batu Kawah dalam parlimen itu.
"Lima teras itu ialah rumah mampu milik dan pendidikan, menggalakkan aktiviti ekonomi, saliran pencegahan banjir, komuniti serta jalan dan lalu lintas. Ketiga-tiga DUN iaitu Batu Kawah, Batu Kitang dan Kota Sentosa kini berkembang pesat dan mengalami pelbagai isu seperti perumahan dan kesesakan.
"Manifesto hari ini ialah untuk projek serta inspirasi kerajaan buat pengundi kawasan tersebut," katanya.
Dr Sim yang juga ADUN Batu Kawah berkata demikian pada sidang media ketika melancarkan manifesto yang dikeluarkan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Cina itu, di sini hari ini.
Kerusi Parlimen Stampin bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara beliau dan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.
Antara perkara yang digariskan dalam manifesto itu ialah 5,000 unit rumah mampu milik, pembinaan kolej vokasional, sokongan kepada tabika yang memerlukan, merangsang sektor pelancongan dan pusat penjaja untuk menjana ekonomi, serta pembinaan kompleks pentadbiran baharu.
Manifesto itu turut memberi perhatian kepada pelaksanaan pelan induk sistem pengaliran mencegah banjir, pembinaan taman awam baharu, pembinaan jalan baharu serta langkah mengurangkan kesesakan lalu lintas.
-- BERNAMA