Rakyat perlu lihat rekod BN berbanding janji ditawar pembangkang 
KOTA BHARU, 29 April (Bernama) -- Rakyat Kelantan perlu melihat keupayaan Barisan Nasional (BN) dalam menunaikan janjinya berbanding parti pembangkang, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata sekalipun pembangkang dilihat menawarkan perkara hampir sama seperti manifesto BN, namun mereka belum tentu mampu melaksanakannya.
"Melihat kepada manifesto yang dilancarkan pembangkang malam tadi, bajet yang diperuntukan mereka boleh membawa kepada defisit kerana perbelanjaan melebihi daripada perolehan hasil.
"Apabila keadaan defisit berlaku, ekonomi akan menguncup sekali gus menyebabkan pelabur tidak berminat melabur, dan akhirnya kerajaan tiada kapasiti untuk menunaikan janji mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) di Sekolah Kebangsaan (SK) Melor di sini, hari ini.
Manifesto yang dibentangkan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Husam Musa itu menawarkan 11 tawaran, antaranya menurunkan kadar cukai tanah dan bayaran premium permohonan tanah kepada kadar sebelum kenaikan pada 2015 serta mengkaji untuk menurunkan cukai pintu di seluruh negeri.
Annuar berkata setiap janji mempunyai implikasi kewangan dan jika semua perkara mahu diberikan secara percuma seperti melupuskan tunggakan hasil tanah dan cukai pintu orang perseorangan serta menghapuskan bayaran letak kereta di semua bandar di Kelantan, akhirnya ekonomi akan menjadi defisit.
Dalam perkembangan lain, Annuar yang juga penyandang kerusi Parlimen Ketereh berkata kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menjadikan kawasan Melor di sini sebagai pekan pelangi bagi menghidupkan suasana yang dilihat 'mati' ketika ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini, Annuar yang mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dicabar calon PKR-PPBM Dr Mohd Radzi Md Jidin dan calon PAS Wan Ismail Wan Jusoh.
-- BERNAMA