Yakin Menang di Senallang - Nasir Sakaran




SEMPORNA, 29 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, Datuk Seri Nasir Sakaran menaruh keyakinan dapat mempertahankan kerusi tersebut walaupun berhadapan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Nasir berkata tidak gentar untuk bersaing dengan sepupunya itu memandangkan rakyat di kawasan itu bijak membuat penilaian dalam memilih wakil rakyat untuk masa hadapan mereka.

"Dengan kerja kuat semua jentera juga, yang ada di Dun Senallang itu kita boleh pertahankan kemenangan BN di kerusi itu." katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program bersama bersama sayap-sayap UMNO bagi Dun Senallang di sini, hari ini.

"Lawan tetap lawan, saya tahu perlawanan kali ini satu lawan satu pasti hebat tetapi UMNO perlu dipertahankan meskipun mereka banyak helah dengan provokasi mengatakan kita kalah tanpa bertanding, itu palsu," katanya.

Sementara itu, Shafie ketika ditemui berkata turut bersedia berhadapan dengan sepupunya itu dan menyifatkan pertembungan itu sebagai 'biasa'.

"Saya yakin masyarakat boleh menilai, saya tidak mahu cakap mendahului kehendak Allah SWT, saya tidak mempunyai sifat takabur, tetapi saya yakin mereka tahu dan sedar," katanya.

Shafie turut akan dicabar calon BN di Parlimen Semporna iaitu Datuk Ramlee Marahaban.

-- BERNAMA