Manifesto BN Sabah terus santuni golongan wanita





TAWAU, 29 April (Bernama) -- Manifesto Barisan Nasional (BN) Sabah memberi banyak manfaat kepada golongan wanita di negeri ini, kata Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu Datuk Hamisa Samat.

Beliau berkata manfaat itu termasuk memudahkan proses golongan ibu tunggal mendapatkan pinjaman untuk mengubah taraf hidup keluarga.

"Menerusi manifesto BN Sabah yang diumumkan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, BN berjanji akan membangunkan golongan wanita serta memastikan kesaksamaan jantina dengan semua segmen wanita dibela manakala martabat golongan itu dilonjakkan pada semua peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis cukur jambul di Masjid Al-Kauthar anjuran Pergerakan Wanita USIA Tawau.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 ini, Hamisa akan mempertahankan kerusi Tanjong Batu dan dicabar calon Parti Warisan Sabah Ismail Senang, Usman Madeaming (PAS) serta Ardi Arsah Samsih (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Pada pilihan raya lepas beliau menewaskan Fatmawaty Mohd Yusuf daripada PAS dengan majoriti 4,422 undi.

-- BERNAMA