PRU14 gamit kenangan mengundi warga emas berusia 116 tahun
Oleh Rohaiza Ab Rahman
TUMPAT, 29 April (Bernama) -- Proses penamaan calon dan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang bermula semalam sekali lagi menggamit kenangan dan ingatan seorang warga emas Che Will Daud, 116, terhadap sejarah pengundian negara.
Katanya segala pengalaman menjalankan tanggungjawab mengundi dan terlibat dengan aktiviti berkempen kembali segar di ingatan setiap kali menjelangnya pilihan raya.
"Paling saya ingat ialah ketika saya dan kawan-kawan yang lain sanggup berjalan kaki mengibarkan bendera parti dari Tumpat ke Kota Bharu ketika dalam tempoh berkempen.
"Kami bergerak lepas maghrib dengan bercahayakan pelita minyak tanah. Keletihan berjalan kaki lebih sejam untuk sampai ke Padang Bank, Kota Bharu tidak sedikit pun dirasai kerana masing-masing bersemangat untuk berkempen," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun kini semua kawan-kawannya telah meninggal dunia dan tiada lagi tempat untuk berkongsi cerita dan keseronokan itu, namun semangatnya tidak pernah pudar.
"Saya gembira setiap kali melihat penglibatan anak-anak muda dalam aktiviti berkempen. Walaupun suasananya mungkin telah berbeza, semangat berkempen itu masih terus segar. Ia sedikit sebanyak mengubat kerinduan saya pada zaman muda dahulu," katanya.
Bagi Che Will, pilihan raya adalah perayaan besar yang perlu diraikan dalam suasana yang harmoni kerana ia akan menjadi sejarah yang akan dingati setiap warga negara ini.
Katanya, tahun ini beliau akan keluar menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi untuk kali ke-14 pada 9 Mei nanti dengan berkerusi roda kerana tidak lagi dapat berjalan seperti biasa akibat sakit tua.
Bercerita mengenai prinsip hidup, Che Will berkata, sejak dahulu lagi beliau memilih untuk mengundi kerajaan sedia ada dan diikuti dua anaknya Hasnah, 72 dan Rahimah, 69, serta 15 cucu dan empat cicitnya yang lain.
"Sepanjang usia lebih seabad, saya memang meyakini kepimpinan sedia ada yang telah banyak membawa kemakmuran kepada negara dan percaya ia akan terus dinikmati melalui kepercayaan yang diberikan," katanya.
Che Will yang masih mempunyai pendengaran dan kesihatan yang baik itu akan mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Bharu.
-- BERNAMA