BN mampu selesaikan tuntutan tanah adat orang asli di Kelantan





GUA MUSANG, 29 April (Bernama) -- Akujanji Barisan Nasional (BN) Kelantan untuk menyelesaikan tuntutan tanah adat Orang Asli jika berjaya mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini bukan cakap kosong, kata calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri Ab Aziz Yusof.

Beliau berkata kerajaan BN mampu menyelesaikan masalah tersebut kerana selama ini ia terhalang akibat kelemahan kerajaan negeri pimpinan PAS.

"Selain menyelesaikan tanah adat kaum Orang Asli, kerajaan BN juga dalam perancangan untuk membina jalan perhubungan berturap ke setiap perkampungan yang terletak di kawasan pedalaman negeri ini berikutan sekarang ini perhubungan banyak menggunakan laluan balak yang sering rosak.

"Saya mahu mengingatkan penduduk Orang Asli jangan mudah percaya janji yang ditabur pemimpin pembangkang kerana mereka membuat janji kosong," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan BN sudah membawa pelbagai kemajuan di perkampungan masyarakat itu termasuk pembinaan rumah yang lebih selesa, kemudahan bekalan air terawat dan bekalan elektrik 24 jam.

Pada 19 April lepas, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika mengumumkan manifesto BN Kelantan bagi PRU14 , antara lain membuat akujanji untuk memberikan keutamaan terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli apabila dapat mentadbir semula negeri ini.

Antara akujanji tersebut ialah mewartakan tanah adat Orang Asli, menaik taraf sosioekonomi Orang Asli menerusi penyediaan pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran, meningkatkan taraf kesihatan kaum itu dan meningkatkan keberkesanan program dakwah.

DUN Nenggiri menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Ab Aziz , calon PAS Mohd Sidek Abd Razak dan Othman Yusoff daripada PKR.

-- BERNAMA