Sepanduk calon BN DUN Pulau Tikus dibakar
GEORGE TOWN, 29 April (Bernama) -- Sebuah sepanduk yang tertera perkataan 'Vote me for Check & Balance' (Undi saya untuk Semak dan Imbang) yang dipasang oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus, Loo Jieh Sheng dibakar oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Loo, 36, yang juga Pemangku Ketua Pemuda Gerakan negeri berkata insiden itu disedari oleh pasukannya awal pagi tadi dan dua laporan telah dibuat supaya siasatan dapat dilakukan.
Katanya sepanduk itu dinaikkan semalam dan tidak sampai 12 jam ia telah dibakar .
Beliau berkata ini merupa satu kesilapan yang besar, sekiranya tindakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab itu adalah untuk menutup mulutnya daripada terus membongkarkan isu-isu berkaitan kerajaan negeri.
"Saya tidak gentar dengan tindakan sedemikain dan akan terus bersuara demi kepentingan dan kesejahteraan penduduk Pulau Pinang. Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab untuk sabotaj kempen BN, tidak kira siapa yang melakukannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Loo bagaimanapun meminta penyokong dan pengundi supaya tidak terlalu beremosi dan berkempen secara aman.
Sementara itu, jurucakap polis bagi PRU14 di Pulau Pinang mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya telah menerima dua laporan mengenai pembakaran sepanduk di dua lokasi yang berlainan.
Katanya siasatan awal di lokasi kejadian pertama di Persiaran Gurney mendapati hanya batang pokok yang bersebelahan dengan sepanduk sahaja yang terbakar manakala sepanduk kedua di Jalan Kelawai telah dibakar sepenuhnya.
Menurut jurucakap itu lagi Tim Cantas dan Balai Polis Pulau Tikus telah diarah supaya meningkatkan risikan dan pemantuan di sekitar lokasi berkenaan.
-- BERNAMA