29 ahli PAS dari Batu Kurau sertai UMNO
BATU KURAU, 29 April (Bernama) -- Sejumlah 29 ahli PAS dari Kampung Titi Kasai Tengah bertindak keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PAS.
Kesemua mereka mengisytiharkan menyertai UMNO dan menyerahkan borang kepada penyandang yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam satu majlis ringkas di sini, hari ini.
Wakil mereka Zulkifli Yunus, 59, berkata mereka meninggalkan PAS kerana yakin hanya BN yang mampu membela rakyat selain konsisten memartabatkan Islam.
"Jadi kami telah sedar Datuk Hamzah ikhlas membantu tanpa mengira dari parti mana sekalipun," katanya dalam ucapan pada majlis itu.
Sementara itu, Hamzah berkata kemasukan ahli PAS itu kerana hanya UMNO yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara bagi kepentingan orang Melayu.
Malah ujar Hamzah, perjuangan pimpinan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah adil dalam menentukan masa depan setiap kaum di negara ini.
-- BERNAMA