Demi Parti: Heng terus berkempen walaupun masih berpantang
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak lelaki awal bulan ini, ia tidak menghalang Ketua Wanita MCA Cheras, Heng Sinn Yee, 40, untuk tetap bersemangat berkempen menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bagi ibu kepada empat orang anak ini, untuk berbakti kepada rakyat, beliau sanggup berkorban selepas diberikan tanggungjawab sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Cheras dan menjadikan dirinya terus gigih melaksanakan amanah itu meskipun terpaksa membahagikan masa antara anak kecil dan khidmat kepada masyarakat.
"Saya ada 'pasukan' yang sangat membantu dan menjadi tulang belakang sepanjang saya menjalankan tugas. Walaupun letih kerana tak cukup tidur tapi saya akan cuba uruskan masa antara bekerja dan berehat.
Saya masih pergi berkempen seperti biasa. Saya sudah lakukan ini sejak dua tahun lalu dan banyak isu yang telah diselesaikan. Saya mahu teruskannya, " katanya dalam sidang media pelancaran manifesto BN Cheras, di sini hari ini.
Antara isu yang sering diperjuangkan termasuklah isu penjaja dan penduduk, menaik taraf infrastruktur seperti pasar awam, kerosakan jalan, masalah perparitan dan kesesakan trafik.
Suaminya, Datuk Dr Toh Kian Kok, 46, berkata sejak isterinya itu menyuarakan hasrat untuk bertanding sebagai wakil rakyat di kawasan itu dua tahun lepas, beliau sentiasa memberikan galakan penuh dan sokongan padu buat isterinya.
"Sejak ada bayi ini, kami memang tidak cukup tidur. Tapi memang saya dan dia akan gilir-gilir berjaga pada waktu malam dan memang faham keadaannya yang letih dengan aktiviti khidmat masyarakat yang tidak kira waktu. Tapi walau apa pun, saya sentiasa berada di belakangnya," kata beliau yang juga Setiausaha MCA Cheras.
Dalam manifesto yang dilancarkan hari ini, sebanyak 10 isu ditekankan termasuklah memperkasakan peranan wanita seperti ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah selain meningkatkan kualiti hidup masyarakat Cheras.
Heng berkata beliau mahu memastikan kaum wanita, orang kelainan upaya dan golongan tidak bernasib baik dapat mengembangkan bakat masing-masing dalam perniagaan serta mampu menjana pendapatan sendiri.
"Saya benar-benar memahami keperluan kaum wanita dan saya akan bantu mereka dalam mengambil bahagian dalam perniagaan sama ada berbentuk 'offline' atau dalam talian selain akan menyediakan ruang studio untuk mereka berniaga, " katanya.
Aspek pendidikan seperti pemberian kelas tuisyen percuma kepada para pelajar kurang berkemampuan dan memastikan pelajar yang layak mendapat tempat di universiti tempatan serta bantuan pendidikan juga akan diperjuangkan sekiranya beliau menang di kawasan itu pada PRU-14 nanti.
"Kawasan yang berpopulasi tinggi sekitar Cheras juga akan dikenal pasti agar kita dapat menyediakan sekolah di kawasan itu bagi memastikan semua anak-anak di sini mendapat akses pendidikan yang sempurna," katanya.
Antara kandungan lain dalam manifesto terbabit termasuklah memohon bantuan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan kerajaan agar dapat menaik taraf 31 Program Perumahan Rakyat di Cheras dan meminta kerajaan menilai semula rancangan pembangunan perumahan di parlimen itu agar menjadi lebih teratur.
Heng yang bertanding buat kali pertama turut berhasrat untuk menaik taraf Pasar Malam Taman Connaught dan kawasan Pudu sebagai destinasi 'Cultural Walk' sekali gus menjadikannya antara destinasi pelancongan utama di Kuala Lumpur.
Mengenai pertembungan satu lawan satu dengan calon veteran DAP Tan Kok Wai, beliau yakin dengan usahanya menyelesaikan pelbagai isu setempat sejak dua tahun lepas dapat membantunya memenangi hati penduduk Cheras yang sebahagian besarnya terdiri daripada kaum Cina.
"Jadi saya yakin dengan usaha konsisten kami di sini, kami mampu menang," katanya.
-- BERNAMA